Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP dakwa SPR seperti parti komponen BN
Diterbitkan:  Feb 26, 2015 3:45 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak seperti sebuah parti komponen BN kerana berdegil untuk meneruskan pendengaran awam berhubung persempadanan semula di Sarawak.

Menurutnya, SPR sepatutnya menghentikan pendengaran ke atas 64 bantahan tersebut bagi memberi laluan kepada semakan kehakiman yang difailkan ke atas proses persempadanan semula itu.

"Sewajibnya SPR menunggu keputusan semakan kehakiman ke atas cadangan persempadanan semula oleh SPR sebelum ini," katanya dalam kenyataan.

Menurut Izzah, SPR sewajarnya menunggu proses kehakiman ke atas persempadanan semula itu yang akan memaksa mereka mendedahkan  tatacara persempadanan semula.

"Pengerusi SPR harus dengan serta-merta mendedahkan maklumat penting dalam proses persempadanan semula di Sarawak.

"Ia termasuklah SOP (garis panduan operasi) yang diguna pakai dalam proses persempadanan, jika tidak (SPR) terpalit selama-lamanya dengan gelaran parti komponen BN yang ke-14," katanya.

Antara masalah yang dibangkitkan dalam cadangan persempadanan semula sebelum ini adalah kegagalan SPR menyenaraikan lokaliti mengundi seperti dilakukan pada tahun 2015.

Selain itu, bantahan juga timbul ke atas usaha SPR untuk memindahkan daerah mengundi ke satu kawasan parlimen, yang didakwa bertentangan dengan Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958.

Nurul Izzah juga mendakwa, SPR cuba menambah kerusi DUN tanpa menambah kerusi parlimen dalam cadangan persempadanan semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS