Sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka "Anak Malaysia Anti Demokrasi" mengugut untuk membunuh ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan meletupkan kereta beliau.
Dalam satu video Youtube yang ditayang menerusi laman Facebook anti-Umno, Ameno World, tiga lelaki berpakaian serba hitam dan menutup muka mereka membuat ugutan itu dengan latar belakang bendera Malaysia.
Individu yang bercakap dalam video itu mendakwa Amerika Syarikat, Rusia dan China menjadi negara "maju dan dihormati kerana rakyatnya tidak memilih saluran demokrasi untuk menjatuhkan petualang yang melindungi rejim yang korup".
"Kami Anak Malaysia Anti Demokrasi mengumumkan akan membunuh ketua polis negara, meletupkan keretanya.
"Dengan itu, semua ketua agensi kerajaan akan takut melakukan kesalahan menipu demokrasi kerana rakyat Malaysia akan bangkit memilih jalan bukan demokrasi," kata individu itu.
Video itu muncul ketika polis giat menjalankan operasi mengikut Akta Hasutan untuk menahan personaliti politik dari Pakatan Rakyat.
Video yang sama diakhiri dengan aksi salah seorang lelaki menolak dua buah kereta mainan dan salah satu kereta itu kemudian dibakar oleh individu yang bercakap.
Ia kemudian disusuli dengan bunyi letupan dan video itu berakhir dengan ketiga-tiga lelaki itu menunjukkan satu isyarat lucah.
Kumpulan individu di dalam video itu bagaimana pun tidak menyatakan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan 'Isis Malaysia 69' yang mahu memasang bunga api di dalam kawasan mahkamah sebelum ini.