Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerjasama PAS-Umno seperti firman Quran'
Diterbitkan:  Feb 24, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Kerjasama PAS-Umno sebagai sebuah kerajaan selari dengan saranan al-Quran, kata Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Katanya kerjasama itu bukan bermaksud menghapuskan identiti tetapi untuk “pesan memesan kepada kebenaran dan kepada kesabaran” seperti dalam Surah al-Asr.

“PAS telah berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik UMNO, mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan.

“Ia satu projek islah (pembaikan) siasah parti lawan dan juga segala kelemahan diri sendiri,” katanya.

Menulis di Facebook, Dr Asri berkata kerjasama itu harus dimulakan secepat mungkin demi kebaikan rakyat.

“Kerjasama itu jika dengan maksud tolong menolong ke arah kebaikan dan taqwa, maka ia merupakan suruhan agama,” katanya membangkitkan perbalahan politik sekian lama kedua-dua parti itu.

Beliau juga berkata persaingan idea-idea baru akan muncul lebih subur dengan pergabungan PAS dan Umno.

“Di pihak kerajaan akan terasa saingan dalaman yang baru. Di pihak pembangkang akan membuka ruang kepada platform baru politik menggantikan tempat PAS.

“Moga ia baik untuk negara di sudut 'politik idea',” kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Beliau juga mengingatkan bahawa terdapat banyak persamaan antara kedua-dua parti itu, terutamanya sudut “aliran kefahaman Islam”.

“Rakyat akan dapat melihat sejauh manakah kejujuran politik antara kedua parti Melayu-Islam itu apabila mereka bergabung dalam pentadbiran,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS