Sebuah NGO hari ini menolak dakwaan kerajaan Kelantan bahawa projek perumahan mereka di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang gagal dan ditinggalkan mangsa banjir.
Kelab Cakna Untuk Tetamu Negeri Kelantan (CUT), sebuah NGO bawah projek “Gabungan Impian Kelantan” kelolaan DAP, berkata kenyataan Menteri Besar Ahmad Yakob pada Jumaat lalu tidak berasas.
“Tiada kebenaran pada dakwaan itu.
“Mereka (kerajaan negeri) tidak buat kajian betul-betul atau lihat sendiri apa yang yang berlaku sebelum bercakap,” kata Setiausaha Agung CUT Helmi Mat Ail kepada Malaysiakini .
NGO itu sudah berada di Kelantan lebih sebulan dan membina 15 daripada 80 rumah disasarkan untuk mangsa banjir.
“Bila kami mula-mula sampai dulu semua orang duduk dalam khemah.
"Tujuan utama kami untuk beri mereka tempat berteduh,” katanya.
Helmi mengakui rumah dibina tidak mengikuti garis panduan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu dilakukan ekoran konsep “fleksibiliti” diamalkan mereka bagi mengikuti kehendak sesetengah mangsa banjir.
Ahmad pada 20 Februari berkata NGO yang bercadang menyumbang bantuan pembinaan rumah mestilah mengikut standard rumah seperti tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.
"Saya tidak mahu terjadi seperti NGO yang membina rumah di Pasir Tumboh tapi mempunyai dua bilik tidur dan ia tidak diterima oleh mangsa banjir menyebabkan ia terbengkalai," beliau dipetik sebagai berkata.