Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan pro-Anwar, dua ditahan, Nik Nazmi terlepas

Aktivis Adam Ali ditahan polis ketika menyertai perhimpunan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi minggu kedua di depan kompleks membeli-belah Sogo.

Kira-kira setengah jam kemudian, Faris Musa dari Jingga 13 turut ditahan di depan Kompleks Pertama.

Kedua-duanya kini ditahan di balai polis Jinjang.

Adam ditahan kira-kira jam 5.25 petang selepas beliau berucap di depan Sogo.

Dia ditahan oleh tiga anggota polis dan dibawa ke balai polis Dang Wangi.

Ekoran itu, kira-kira 70 penyokong berhimpun di hadapan balai polis berkenaan.

Kira-kira lima minit kemudian, Adam dibawa ke balai polis Jinjang.

Difahamkan, Adam ditahan di bawah seksyen 143, Kanun Keseksaan berhubung ucapannya dalam himpunan 'Kita Lawan' minggu, di samping disyaki menjadi penganjur perhimpunan yang sama.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan itu berkaitan dengan Akta Himpunan Aman 2012.

Pada satu ketika berlaku pergelutan antara anggota polis dengan para penyokong ketika mereka cuba menahan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mempertikai tindakan polis menahan Adam itu.

Bagaimanapun, difahamkan penyokongnya sempat membawa Nik Nazmi pergi dari situ.

Sehingga jam 5.50 petang tadi, masih kira-kira 20 orang di depan polis itu, termasuk bapa Adam – Abdul Halim Abdul Hamid.

Manakala Faris yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR pula ditahan polis di depan pertama kompleks kira-kira jam 6 petang, difahamkan di bawah seksyen yang sama dan sudah dibawa balai polis Jinjang.

Perhimpunan kali ini bermula di depan kompleks membeli-belah Sogo bermula kira-kira jam 4.50 petang.

Malaysiakini difahamkan para penyokong akan berkumpul di balai polis Jinjang pada pukul 8 malam ini .

Sebelum itu, perhimpunan hari ini bermula dengan tarian singa keadilan, sempena sambutan Tahun Baru Cina, yang menarik perhatian kira-kira 200 pengunjung ke pusat membeli belah itu.

Kumpulan tarian singa itu kemudiannya menyerahkan tulisan khat Cina kepada anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim – Nurul Nuha.

Nik Nazmi adalah antara yang berucap di depan Sogo.

Turut hadir ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing .

Ketika itu, kelihatan kira-kira lima anggota polis beruniform di situ serta 10 orang lagi yang berpakaian biasa yang dipercayai anggota polis.

Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan tuduhan liwat ke atasnya.

 

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS