Sebanyak 2,600 keluarga yang kehilangan kediaman akibat banjir pada Disember lepas, akan menduduki rumah baru yang dibina oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan sebelum Ramadan ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 rumah akan dibina oleh kerajaan Persekutuan dan bakinya akan dibina oleh kerajaan Kelantan.
"Kita akan bina (rumah) tanpa mengira fahaman politik dan agama, semua rakyat Kelantan yang terlibat dengan bencana itu akan memiliki rumah secara percuma," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan kunci rumah kekal mangsa banjir di Desa Rahmat di Machang hari ini.
Seramai 10 mangsa banjir yang kehilangan rumah di Temangan masing-masing menerima kunci rumah mereka hari ini, yang membabitkan peruntukan pembinaan sebanyak RM400,000.
Ahmad yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan memberi keutamaan supaya mangsa banjir yang kehilangan rumah, dapat menduduki rumah baharu dengan seberapa segera.
Selain itu, katanya mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang bercadang menyumbang bantuan pembinaan rumah mestilah mengikut standard rumah seperti tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.
"Saya tidak mahu terjadi seperti NGO yang membina rumah di Pasir Tumboh (Kota Baharu) tapi mempunyai dua bilik tidur dan ia tidak diterima oleh mangsa banjir menyebabkan ia terbengkalai," katanya.
- Bernama