ADS
mk-logo
Berita
Kes wanita bogel bukan di balai polis M'sia
Diterbitkan:  Feb 19, 2015 4:16 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan rakaman wanita bogel yang menari di sebuah balai polis tidak berlaku di negara ini.

Sebaliknya, menurut kenyataan Bukit Aman di Facebook, semakan polis mendapati ia berlaku di Moscow, Rusia.

“Tindakan pihak yang memuat naik berita palsu tersebut dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab, boleh mengelirukan masyarakat dan berupaya mencemar imej PDRM ,” menurut kenyataan itu.

Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan cara yang boleh “menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam”.

“Gunakanlah ia dengan bijak dan berhemah untuk kebaikan bersama,” menurut kenyataan itu lagi.

ADS

Polis juga menyiarkan imej rakaman layar sebuah Facebook dikenali sebagai "Informasi Malaysia Kini" yang menyebut ketua polis negara memerintahkan anggotanya yang merakam aksi itu dipecat.

"Sekumpulan anggota polis bakal berdepan tindakan buang kerja selepas video yang mereka rakamkan, yang memperlihatkan bagaimana seorang wanita berbogel sambil menari-nari di balai polis, tersebar," menurut maklumat kontroversi itu.

Turut dimuatkan dua keping gambar wanita berambut perang muda berbogel, salah satunya berdiri di atas meja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS