Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli menyindir pemimpin parti lawan yang mahu BN tidak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan Datuk Nik Aziz Nik Mat atas alasan menghormati allahyarham.

Katanya, jika benar pertimbangan itu, sudah tentu BN tidak cuba merebut DUN Chempaka dalam pilihan raya umum sebelum ini.

“Kalau hormati Tok Guru (Nik Aziz), pilihan raya umum yang lepas mereka tak patut bertanding.

"Saya tak mahu kata mereka (pemimpin BN) takut, tapi saya tak pasti apa motifnya (tak mahu tanding),” katanya sambil mengingatkan Nik Aziz bertanding di kawasan itu sejak 1967 lagi.

Bercakap dalam sidang media hari ini beliau juga menyampai mesej 'khas' kepada BN:

"Kita jumpa di DUN Chempaka dan Permatang Pauh”.

Hatta berkata BN perlu memberi alasan konsisten dengan sebelum ini.

"Kalau mereka rasa tak perlu tanding di Chempaka, saya raya mereka harus memikirkan (berbuat begitu) untuk Permatang Pauh. Buat keputusan yang konsisten," katanya.

Pulihkan negeri

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada BN takut berdepan PAS di Kelantan.

Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan supaya BN tidak menyertai pilihan raya DUN Chempaka.

Ia antaranya bagi menjaga hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri demi memulihkan negeri itu akibat banjir besar Disember lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Nik Aziz menang di kerusi Chempaka dengan majoriti 6,500 undi. Mursyidul am PAS itu mendapat 12,310 undi, manakala calon BN Wan Razman Wan Abd Razak memperolehi 5,810 undi.

Mengulas lanjut, Dr Hatta yang juga ahli jawatankuasa PAS berkata Pakatan Rakyat akan memutuskan calon yang terbaik bagi kedua-dua kerusi bagi kawasan yang terlibat dan enggan membuat spekulasi Nurul Nuha Anwar akan mempertahankan kubu kuat  di Permatang Pauh.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa calonnya (di Permatang Pauh)," kata Dr Hatta yang juga MP Kuala Krai.

"Bila sampai pilihan raya nanti, kita akan bantu. Kita akan pastikan pengundi memberi sokongan penuh kepada calon PKR bagi memastikan kerusi itu kekal milik Pakatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS