Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M ketuai PKR? Umno Cheras nampak helah
Diterbitkan:  Feb 13, 2015 6:23 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata cadangan PKR untuk melantik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai PKR hanyalah strategi untuk memecahbelahkan Umno.

Syed Ali yakin bahawa Mahathir bukanlah “pemimpin murahan dan mudah diperalat” sehingga sanggup menggalas jawatan seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini meringkuk di penjara.

“Cadangan tersebut ternyata sesuatu yang mengarut, tidak waras dan satu provokasi (untuk) memecahbelahkan Umno.

"Saya tidak terfikir bagaimana pembangkang boleh keluarkan cadangan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Ketua Pembangkang yang sebelum ini disandang oleh Anwar.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang,” katanya dalam kenyataan di blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

Beliau mengulas gesaan dari kelompok PKR yang menggesa Mahathir menggantikan Anwar di jawatan tersebut.

Spekulasi kerjasama Anwar-PM

Cadangan itu muncul susulan spekulasi bahawa wujud kerjasama di antara Anwar dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin melihat bahawa perkara itu tidak mustahil terjadi kerana Najib menurutnya mahu menutup kritikan Mahathir dan, bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau menimbulkan jangkaan itu apabila melihat Mahathir melancarkan kritikan terbuka ke atas kepimpinan Najib dan turut menimbulkan isu berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB.

Pada masa sama, media arus perdana yang dikuasai BN menyerang sekutu rapat Mahathir, Tun Daim Zainuddin, dan turut membuat liputan mengenai siri pendedahan PKR mengenai kekayaan bekas menteri kewangan itu.

PKR bagaimanapun menolak tanggapan itu dan hanya menganggapnya sebagai satu kebetulan.

Syed Ali juga berpendapat bahawa Mahathir tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan Umno dengan mudah.

"Apa yang saya tahu Dr Mahathir adalah ahli dan pemimpin tulen Umno, tidak mungkin beliau begitu mudah untuk diheret menyertai pembangkang," katanya.

Beliau turut sambil menyindir PKR yang disifatkannya sebagai “perahu usang” yang menunggu masa untuk tenggelam dan "ketandusan" pemimpin yang layak menggantikan Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS