PKR mungkin terdesak mencari pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sanggup menawarkan kedudukan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Mungkin mereka (PKR) sudah rasa terdesak, tak ada siapa lagi yang boleh membantu jadi mereka terfikir Tun (Dr Mahathir)," kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau mengulas berita yang menyebut sekumpulan "ahli akar umbi" PKR berdemonstrasi di depan pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam bagi menggesa mantan perdana menteri itu menggantikan Anwar.
Kumpulan kecil diketuai olah timbalan ketua cabang PKR Lembah Pantai, Johari Musa, lapor Sinar Harian .
Bagaimanapun timbalan perdana menteri itu percaya Dr Mahathir terlalu sebati "darah Umno-nya", lapor agensi berita Bernama .
"Walaupun beliau kritikal dalam isu-isu tertentu dalam politik mahupun pentadbiran kerajaan tapi saya percaya beliau ahli Umno yang sebati selepas menjadi pemimpin parti begitu lama," kata Muhyiddin lagi di Bau, Sarawak hari ini.
PKR ditubuhkan pada April 1999 sewaktu Anwar di dalam penjara selepas berdepan konflik besar dengan bekas bosnya itu.
Dr Mahathir memecat Anwar daripada kabinet pada September 1998 susulan krisis politik antara mereka berdua berhubung cara menangani ekonomi dan perbalahan dalam Umno.