Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih belum memberi petunjuk yang jelas bahawa beliau akan hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat yang akan berlangsung esok.
Laporan Harakahdaily menyebut, Hadi berkata, setiausaha agung DAP sendiri, Lim Guan Eng tidak berhak untuk menentukan kehadirannya.
“Dia (Guan Eng) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir.
"Terpulang kepada saya hendak hadir atau tidak hadir. Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah.
“Tengok hari mesyuarat inilah saya hadir atau tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya hendak hadir,” ujarnya seperti dipetik dalam laporan lidah parti PAS itu.
Laporan itu menyebut, Hadir menyatakan demikian dengan “berseloroh".
Tambahnya, beliau juga lebih kerap hadir ke mesyuarat tersebut berbanding Lim.
“Cuma saya rasa bangga, saya lebih banyak hadir mesyuarat dari Lim Guan Eng, kecuali (ketika) saya sakit dulu.
“Masa saya jadi menteri besar pun saya hadir tiap-tiap kali mesyuarat. Saya tidak sibuk macam ketua menteri dan jika sibuk pun saya mesti hadir untuk mesyuarat Pakatan Rakyat.
“Kalau kata saya banyak tak hadir mesyuarat itu tak betul, kena semak kehadiranlah siapa paling banyak tidak hadir mesyuarat,” kata MP Marang itu lagi.