Seramai kira-kira 100 orang pemuda dan mantan pemuda Umno hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini bagi menunjukkan solidariti terhadap Datuk Seri Ismail Sabri.
Mereka membawa poster bertulis “Kami semua Ismail Sabri” sebagai tanda sokongan.
Mereka yang mula berkumpul kira-kira jam tiga petang di Cafe Riverside petang ini, hadir bagi memberi sokongan kepada menteri pertanian dan industri asas tani itu berhubung kenyataannya yang menggesa orang ramai memboikot peniaga Cina.
Antara yang turut hadir pada majlis petang ini ialah exco Pemuda Umno Fathul Bari dan Arman Azha Abu Hanifah.
Selepas kira-kira 30 minit berkumpul, seramai lima orang mantan ketua pemuda Umno kemudiannya membuat sidang media.
Antara yang hadir bagi mengadakan sidang media itu ialah Datuk Yahya Mat Ghani, Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Datuk Zulkifli Alwi.
Selepas sidang media, Ismail kemudian hadir ke restoren tersebut dan bersalaman dengan semua "penyokongnya".
Mereka kemudian bergambar bersama dan melaungkan "We Are All Ismail Sabri".
'Tak akan minta maaf'
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ahli Parlimen Bera itu menegaskan, beliau tidak akan menarik balik atau memohon maaf berhubung kenyataannya yang menggesa orang ramai memboikot perniagaan Cina.
"Tidak akan tarik balik (kenyataan) dan tidak akan minta maaf," katanya.
Selain itu, mengulas mengenai tindakan Pemuda MCA yang turut mengecam Ismail, beliau berkata sebagai sebuah parti komponen BN, MCA sepatutnya duduk bersama dan berbincang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Katanya, dalam isu ini MCA tidak sepatutnya bersama dengan DAP untuk bersama mengecamnya.
"MCA saja yang menentang saya tapi saya tak jawab (balik) pun. Dalam komponen BN ini kita ada peraturan. Kita duduk berbincanglah. Tak perlulah nak keluarkan kenyataan bersama DAP," katanya lagi.