Akta Kebankrapan 1967 perlu dirombak supaya lebih adil kepada mangsa muflis, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
“Akta Kebankrapan 1967 harus dirombak dan dinilai semula.
“Ia perlukan pembaharuan semasa dan sepatutnya lebih adil kepada mangsa bankrap,” kata Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Katanya lagi, langkah itu perlu diambil ketika jumlah mangsa bankrap kini mencecah 300,000 orang dan melibatkan pengguna berumur bawah 23 tahun.
Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Nadzim ( kanan ) berkata kenapa akta itu belum dipinda walaupun kerajaan sudah menjanjikan perkara itu empat tahun lalu.
“Jabatan Insolvensi Malaysia harus mengemaskini perkara yang ingin diubah kerana berkaitan dengan kehidupan seharian penghutang,” katanya yang mahu bertemu sendiri dengan ketua pengarah jabatan itu bagi membincangkannya.
Berdasarkan akta, seseorang itu diisytihar muflis jika menanggung hutang minimum RM30, 000 dan tidak mampu membayarnya.
Selepas diisytihar bankrap, mereka secara automatik disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan dilarang ke luar negara.