Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib tiba di Zurich untuk forum WEF
Diterbitkan:  Jan 22, 2015 10:59 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di Zurich lewat Rabu dari Kuala Lumpur untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-45, yang bermula hari ini.

Najib yang tiba pada 10.10 malam (waktu tempatan) di Zurich ExecuJet Terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich, disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Switzerland Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor dan isteri Datin Anna Amalina Imam Baweh.

Najib yang menghadiri WEF buat kali kedua, mengetuai delegasi Malaysia pada forum tahun ini yang bertemakan 'Konteks Baharu Global'.

Najib dijangka menyampaikan mesej jelas, selain meletakkan asas yang tepat ke arah merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN, selari dengan kepimpinan Malaysia dalam kumpulan serantau itu tahun ini.

Dianggotai 10 negara, ASEAN hari ini mempunyai lebih daripada 600 juta penduduk dengan gabungan keluaran dalam negara kasar US$2.4 trilion, menjadikannya ekonomi ketujuh terbesar dunia.

Selain Najib, ketua kerajaan atau negara yang telah mengesahkan penyertaan masing-masing pada forum yang berakhir pada 24 Jan itu termasuk Raja Abdullah II Jordan dan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi.

Forum tahun itu berlangsung di Davos, resort pergunungan di Graubunden, di wilayah timur Alps Switzerland, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Zurich.

WEF kali ini bakal menyaksikan lebih daripada 40 pemimpin dunia serta 2,500 peserta yang terdiri daripada pegawai eksekutif, cendekiawan akademik, pakar serantau, pembuat dasar selain pemimpin perniagaan dari 140 negara.

Najib juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri  Kazakhstan Karim Massimov, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.

WEF, yayasan yang ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan dan berpejabat di  Cologne, Geneva, ialah badan bebas antarabangsa yang komited untuk menyatukan pemimpin perniagaan, politik serta akademik, untuk kemakmuran dunia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS