Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertamanya saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Anthony Loke ( bawah ), setiausaha organisasi DAP kerana mengakui dan mengesahkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak termasuk dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

Premis perbincangan kita sebenarnya bukan isu demokrasi tetapi pendirian DAP yang tidak konsisten tentang polisi bersama.

Ini kerana banyak lagi isu demokrasi yang belum selesai jika kita mahu bincangkan isu ini.

Sepanjang masa DAP menyatakan bahawa sebarang isu yang tidak termasuk dalam polisi bersama dan tidak dipersetujui oleh pimpinan tertinggi Pakatan tidak boleh dilaksanakan.

Isu kerajaan tempatan adalah contoh tentang sikap DAP yang tidak konsisten dalam hal ini.

Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati-matian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama ia diteruskan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Ini yang menjadi persoalan.

Pendirian pemimpin Pakatan berkaitan isu kerajaan tempatan jelas, ia tidak mempunyai persetujuan bersama untuk dilaksanakan.

Ini boleh dibuktikan daripada perkara yang sama dikemukakan oleh Teresa Kok sewaktu menjadi pengerusi DAP Selangor yang mengemukakan isu pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.

Angkuh bila ada majoriti

Pendirian yang diambil oleh pimpinan Pakatan dalam mesyuarat-mesyuaratnya dalam isu ini jelas menolaknya sehingga ia dibincangkan bersama oleh ketiga-tiga parti di peringkat negeri.

Sehingga ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh Pakatan di peringkat negeri.

Jelas tiada persetujuan di kalangan pimpinan. Tetapi dalam kes Pulau Pinang kerajaan DAP tanpa merujuk kepada pimpinan pusat, ia terus dilaksanakan.

Ini yang menjadi persoalannya. Apa sebabnya, kerana mereka ada majoriti dalam DUN Pulau Pinang.

Ini adalah gambaran daripada sikap arogan atau angkuh yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP apabila mereka memperoleh kuasa majoriti.

Hal ini juga dimanisfestasi oleh pimpinan DAP Sarawak yang membuat kenyataan, tidak perlu kerjasama PAS hatta PKR sekalipun hanya kerana DAP paling kuat di Sarawak.

Sifat arogan sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebahagian pemimpin DAP ini satu amalan yang tidak baik dalam konteks kerjasama politik sekarang.

Oleh itu saya menyeru kepada pemimpin DAP supaya jangan meneruskan amalan dan sikap seperti ini kerana sikap angkuh dan arogan ini bercanggah dengan amalan dan semangat setiakawan dalam kerjasama ini.


DATUK MUSTAFA ALI setiausaha agung PAS.

BERKAITAN: DAP jawab Mustafa Ali


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS