Mahkamah Koroner di Kuala Lumpur mendapati polis bertindak dengan tidak mengikut undang-undang kerana tidak memberi ubat dan bantuan perubatan kepada tahanan P Chandran.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Bache, yang bertindak sebagai koroner berkata Chandran mati di dalam lokap polis sebelum 7.48am pada 10 September, 2012, namun polis hanya mengetahui dan melaporkan perkara itu 12 jam kemudian.
"Kematian tahanan itu disebabkan oleh serangan jantung akibat penyakit tekanan darah tinggi dan ini disebabkan polis tidak memberi atau membenarkan perubatan berhubung masalah ini,” katanya.
Chandran yang berasal dari Simpang Renggam ditahan reman di lokap balai polis Dang Wangi selama empat hari sebelum kematiannya.
Sepanjang tempoh itu, beliau tidak dibenarkan mengambil ubat yang diberikan oleh anggota keluarganya.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan susulan laporan polis ke atasnya oleh seorang wanita Indonesia yang mendakwa bayi dilarikan.