Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihak berkuasa agama sepatutnya mendidik dan bukannya menghukum remaja bertudung yang dipeluk oleh artis K-Pop di sebuah konsert.
Katanya, hukuman ke atas remaja berkenaan akan menimbulkan lebih banyak kontroversi dan tuduhan bahawa pihak berkuasa mengamalkan pendakwaan terpilih.
"Kalau hukum itu, tak hukum ini. Nanti timbul (kritikan), ada hukuman yang terpilih. Tak akan habis.
"Pendidikan lebih penting. Adakalanya (tindakan penonnton konsert) keterlaluan dan ada bersifat terlajak dan ia perlu diberi nasihat dan kaunseling.
"Jadi saya serah pada pihak berkenaan untuk beri tindakan yang terbaik," katanya lagi.
Shabery turut ditanya mengenai bidang kuasa kementeriannya dalam menangani kes tersebut.
Katanya, sesetengah perkara berlaku secara spontan dan sukar untuk dikawal apabila ia melibatkan penonton.
"Ada perkara yang saya kira, nasihat perlu diberikan oleh pihak tertentu.
"Saya rasa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkenaan dengan menghukum bukan pemilihan yang perlu dibuat oleh setiap perkara yang berlaku.
"Zaman sekarang ini, ada perkara yang kita boleh kenakan tindakan undang-undang, ada perkara nasihat, pandangan pendidikan lebih penting supaya orang boleh memilih mana yang baik dan mana yang tak baik diperlakukan.
“(Jangan) menghukum kerana ia akan mengakibatkan kesulitan di masa depan," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Ahmad Shabery mengulas mengenai ancaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menahan remaja terbabit sekiranya tidak tampil untuk membantu siasatan.
Ancaman tersebut menimbulkan cemuhan dan kritikan anggota masyarakat sivil, ahli politik, artis dan pengguna Internet.
Antaranya, bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang membangkitkan kejadian melibatkan orang kenamaan yang didakwa memeluk artis Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dan satu kejadian.
Pelakon popular, Adibah Noor pula berkongsi pengalamannya melihat gelagat para “isteri orang” dan “makcik-makcik” yang “meraba dan mengucup para artis lelaki tempatan”.
JAWI tidak menangani kes tersebut, berbeza dengan tindakan mereka ke atas remaja di konsert K-Pop B1F4 itu.
Remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam.