Penganjur acara k-pop kontroversi di Kuala Lumpur pada Sabtu menyelar media yang melaporkan bahawa mereka membiarkan pencabulan dan gangguan seksual.
“Terminologi yang digunakan dipetik di luar konteks dan amat menyedihkan kepada kami melihat kewartawanan tidak bertanggungjawab sebegitu,” kata TGM Events.
Menulis di Facebook syarikat, TGM berkata mereka tidak akan sesekali membiarkan perkara itu berlaku.
TGM menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk membiarkan gadis bertudung dipeluk dan dicium kerana ia dipilih secara rawak.
Menurutnya lagi, penonton juga telah diberitahu supaya tidak terlalu dekat atau menyentuh artis.
“Bagaimanapun, peminat memberi izin di atas pentas, di hadapan penonton.”
Syarikat itu juga meminta maaf jika laporan berkaitan di media menyebabkan masalah kepada artis terbabit dan peminatnya.
“Pada masa depan, kami akan ambil kira kesan agama dan budaya dalam interaksi antara peminat dan artis,” katanya.
Aksi gadis bertudung yang berpelukan dengan artis B1A4 menimbulkan cemuhan masyarakat selepas videonya tersebar luas di Internet.
Rakaman lebih tiga minit itu menunjukkan gadis tempatan naik ke pentas sebelum berpelukan dan merelakan dicium dan dirangkul artis itu, sambil disambut sorakan penonton.
B1A4 sebuah kumpulan muzik Korea Selatan yang dianggotai lima jejaka.