Aktivis peguam Eric Paulsen yang didakwa mengkritik khutbah Jumaat belum memutuskan sama ada akan memohon maaf atas kenyataan kontroversinya itu.
Anggota kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) itu sebaliknya berkata buat masa ini biarlah pihak polis menyiasatnya terlebih dahulu.
“Perkara ini sedang disiasat. Jadi saya rasa, biar saya kena siasat dahulu.
"Jadi lihatlah macam mana nanti,” katanya ketika ditanya gesaan supaya beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.
Tweet Paulsen pada Jumaat itu dikritik keras pelbagai pihak, serta mengundang siasatan polis.
Beliau menulis tweet kontroversi berbunyi:
“Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mengenai ekstremisme di Malaysia”.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi ( kanan ) menyifatkan Paulsen menghina umat Islam jika beliau merujuk kepada khutbah Jumaat.
Manakala Utusan Malaysia pula hari ini berkata Paulsen “terlalu ekstrem”.
Kedua-dua pihak itu mahukan Paulsen memohon maaf.
Bagaimanapun, ketika dihubungi pagi ini, peguam hak asasi manusia itu berkata terdapat “salah faham” tetapi belum mahu menghuraikannya pada masa ini.
Paulsen mahu menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan.
“Polis sudah hubungi saya dan saya sedia untuk bekerjasama. Dan perkara ini menjadi kes polis. Biar proses siasatan berjalan (dahulu),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Gesa polis profesional
Sementara itu, dalam kenyataannya pagi ini, Paulsen menggesa pihak polis bertindak lebih profesional dan tidak pilih kasih dalam menjalankan tugas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata Paulsen antara yang wajar disiasat bawah akta hasutan ekoran tindakan itu.
Malah Khalid mem uat naik gambar Paulsen di Twitter beliau dengan tulisan “biadap”.
Paulsen mengaitkan tindakan polis terhadapnya itu dengan dengan kempen oleh tentera siber pro-Umno.
“Tidak wajar dan sungguh mengejutkan apabila ketua polis negara menerima arahan daripada tentera siber dan penyokong pro-Umno di Twitter, ketika beliau seharusnya neutral menangani mereka (kumpulan itu) yang bermotifkan politik dan jelas mempunyai niat tidak baik,” katanya.