Banjir besar di Kelantan pada kali ini mempamerkan banyak perkara yang mengejutkan rakyat Malaysia.
Negeri pemerintahan ulama ini merupakan negeri yang berhadapan dengan banjir yang boleh dianggap teruk berbanding negeri-negeri lain.
Sedang berbicara tentang banjir di Kelantan, tidak semena-mena, isu pembalakan menjadi perbincangan hangat dalam media sosial.
Ini dilihat kepada faktor permulaan banjir berlaku di kawasan-kawasan pembalakan.
Lebih jelas, apabila tersebar gambar-gambar dan video yang mempamerkan beberapa kawasan hutan yang sudah gondol. Menurut dakwaan ramai, ia akibat daripada pembalakan.
Sejurus surut air banjir di beberapa kawasan, bukan sekadar kerosakan harta benda, tetapi kelihatan peninggalan air banjir itu ada lumpur dan bekas tanah yang agak banyak.
Ini menjadi lebih kuat pada sangkaan ramai bahawa banjir besar kali ini, secara tidak langsung punyai kaitan dengan pembalakan.
Tidak diketahui sejauh mana benarnya dakwaan ramai tersebut, tetapi Ia menarik perhatian sebilangan ahli politik di Malaysia, sehinggakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob tidak menolak kemungkinan bahawa wujud pembalakan haram yang melibatkan beberapa kawasan hutan di Kelantan.
Tidak ketinggalan juga dengan kenyataan Salahudin Ayub, salah seorang naib presiden PAS yang tidak menafikan faktor pembalakan antara penyumbang secara tidak langsung terhadap banjir besar yang menimpa negeri yang satu-satunya menggunakan slogan Membangun Bersama Islam itu.
Politik Islam
Di kalangan ulama-ulama Islam, politik didefinisikan sebagai melaksanakan perkara yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Lebih terperinci, ‘Allal al-Fasi menyatakan dalam kitab beliau bertajuk Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa Makarimuha bahawa politik itu hendaklah punyai tiga faktor besar, iaitu pengakuan terhadap keadilan, menunaikan hak rakyat dan menyusun urus tadbir negara dengan baik. (lihat halaman 165)
Al-Qaradawi pula ada menyatakan dalam kitab al-Siyasah al-Syariyyah Fi Dauw al-Nusus al-Syariah wa Maqasidiha bahawa politik itu adalah tindakan pemerintah untuk mengelak dari berlaku kerosakan yang sedang berlaku dan kerosakan yang dijangkakan bakal berlaku. (lihat halaman 32)
Menurut Ibn ‘Aqil pula, politik itu adalah tindakan yang boleh membawa rakyat kepada kebaikan dan menjauhkan mereka dari sebarang kerosakan, walaupun tindakan itu tidak dinyatakan menerusi wahyu dan hadis Nabi Muhammad SAW. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Turuq al-Hukmiyyah , halaman 13)
Mengenangkan politik dari sudut kaca mata ulama-ulama Islam yang muktabar, kelihatan bahawa pentadbiran politik yang dibina, hendaklah memikirkan tentang agar kebaikan hendaklah sentiasa berdampingan dengan rakyat, di samping berusaha agar keburukan sentiasa berjauhan dari terkena kepada rakyat.
Menyedari perkara itu, pasti kita tidak akan terkejut bahawa konsep siasatan terhadap kegiatan yang berkaitan dengan kerajaan secara terbuka, yang hampir iras pengamalan Selcat di Selangor, secara dasarnya pengamalan itu diamalkan dalam sejarah politik umat Islam di era salafus soleh terdahulu. Ia dikenali sebagai hisbah.
Di era pemerintahan Umar bin al-Khattab, beliau diberitahu bahawa gabenor lantikannya di Bahrain mencapai kekayaan. Keraguan dalam mendapat sumber kewangan, menjadikan Saidina Umar bin al-Khattab memanggil gabenor itu untuk datang mengadap dan dilakukan siasatan hisbah.
Ternyata dalam siasatan tersebut, gabenor terbabit berjaya dibuktikan tidak bersalah. (lihat al-Hakim, al-Mustadrak ‘Ala Sahihain , hadis no: 3,327)
Perlaksanaan hisbah ini dilihat penting dalam kerangka politik umat islam di zaman salafus soleh dahulu kerana mengelak keraguan rakyat terhadap pemerintah. Lebih-lebih lagi, dalam banyak hadis dipamerkan bagaimana Islam melihat kepentingan penguasa membina kredibiliti di mata rakyat.
Nabi Muhammad SAW sendiri tidak membenarkan ahli keluarga baginda menerima zakat dan sedekah. (lihat Riwayat Muslim, hadis no: 167)
Malahan, dalam hadis yang lain digambarkan bahawa Nabi Muhammad SAW ternampak cucu baginda al-Hasan bin ‘Ali termakan buah kurma yang disedekahkan, baginda sendiri mengorek kurma itu daripada mulut cucu baginda. (lihat Riwayat Muslim, hadis no: 161)
Dalam komentar al-Imam al-Syawkani dalam kitab Nail al-Awtar , tindakan Nabi Muhammad itu kerana mengelak dari sebarang tohmah yang bakal dilakukan terhadap baginda. (lihat jilid 6, halaman 478)
Tidak diabaikan dengan kisah Saidina Umar bin Abd al-Aziz yang beliau menolak hadiah sebiji epal yang diberikan oleh salah seorang pegawai beliau.
Apabila diberitahu kepada beliau bahawa baginda SAW, Abu Bakar dan Umar menerima hadiah, dengan pantas Umar bin Abd al-Aziz menjawab:
“Bagi mereka, ia merupakan sedekah. Sedangkan pemberian pegawai kerajaan selepas mereka dianggap sebagai rasuah.”
(Lihat Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-bari Syarh al-Bukhari, jilid 8, halaman 82)
Nyata betapa politik dalam kalangan umat Islam, sejak zaman Nabi Muhammad SAW, faktor membina pemerintahan yang punyai kepercayaan rakyat ini amat perlu dan amat penting.
Hisbah Kelantan
Dalam manifesto PAS tahun 1990, antara janji PAS Kelantan adalah mahu melaksanakan hisbah dalam pentadbiran.
Malahan, di awal pentadbiran PAS di Kelantan, kerajaan Negeri Kelantan menggambarkan perlaksanaan itu sebagai wajib, kerana ia adalah janji yang wajib ditunaikan. (lihat "Kami terima kemenangan dengan penuh kesyukuran", Harakah , 29 Oktober 1990)
Namun, janji itu sekadar janji; Kewajipan hanya tinggal kewajipan.
Sehingga kini, yang lebih 20 tahun memerintah, PAS Kelantan tidak pernah menunaikan janji tersebut.
Memandangkan isu pengurusan balak di Kelantan kedengaran, tanpa mengabaikan kebajikan mangsa banjir, PAS sudah sewajarnya berfikir untuk tidak mencipta alasan untuk tidak melaksanakan Hisbah dalam pentadbiran Kelantan, terutama dalam melakukan siasatan terhadap pengurusan balak di Kelantan.
Ini lebih dilihat penting, apabila MB Kelantan ( kanan ) sendiri sudah akui bahawa beliau tidak menolak kemungkinan tentang wujudnya pembalakan haram dalam memberi respon tentang dakwaan banjir besar punyai kaitan dengan banjir kali ini.
Dikukuhkan lagi dengan kenyataan salah seorang naib presiden PAS yang akui bahawa pembalakan antara faktor secara tidak langsung berlakunya banjir besar di Kelantan pada kali ini.
Jika kerajaan Selangor yang tidak menggunakan label Islam pun boleh melaksanakan Selcat, saya pasti bahawa seluruh kepimpinan PAS yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan tidak akan mencipta seribu satu alasan untuk tidak melaksanakan Hisbah pada kali ini.
WAN JI WAN HUSSIN pendakwah bebas, penulis blog dan pencinta pemikiran al-Syatibi.