Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Tetap harga minyak secara mingguan
Diterbitkan:  Jan 2, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menggesa kerajaan menetapkan harga minyak secara mingguan dan bukan secara bulanan seperti dilakukan sejak sebulan lalu.

Menurut Rafizi, penetapan harga mingguan itu bagi memanfaatkan trend kejatuhan harga minyak yang dijangka akan berterusan sepanjang tahun 2015.

Katanya, penetapan harga bulanan sekarang akan menyebabkan orang ramai akan membayar harga minyak tinggi yang merupakan purata harga sebulan sebelumnya.

"Apabila semakan dan penyelarasan harga lambat dilakukan, rakyat terpaksa membayar harga sebulan yang lepas yang sudah tentu jauh lebih tinggi dari harga dan kos sebenar yang ditanggung syarikat minyak," kata Rafizi dalam kenyataan.

Rafizi mendakwa, amalan pada masa ini membolehkan kerajaan memanipulasi perbezaan di antara harga minyak pasaran yang jauh lebih rendah daripada harga minyak apungan untuk membolehkan ia mengutip "cukai tersembunyi" dari orang ramai.

 

Menurut hitungan yang dilakukannya, dalam bulan Disember 2014 sahaja, kerajaan didakwa mengutip cukai tersembunyi sebanyak RM633 juta, dakwanya.

Tegasnya, jika sistem apungan terkawal bulanan sekarang berterusan, cukai tersembunyi bagi tahun 2015 itu dijangka berjumlah di antara RM3 bilion sehingga RM5 bilion.

 

"Saya menggesa supaya Kerajaan Persekutuan menukar jadual menyelaraskan harga petrol dan diesel dari sebulan sekali kepada setiap seminggu sekali.

"Harga bagi minggu ini adalah harga purata petrol dan diesel bagi 7 hari sebelumnya," katanya.

 

Harga runcit minyak petrol RON95 turun kepada RM1.91 seliter mulai tengah malam 1 Januari lalu. Harga diesel pula turun kepada RM1.93 seliter dan RON97 pula turun kepada RM2.11 seliter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS