Seorang juruterbang AirAsia dilapor positif dadah setelah menerbangkan pesawat dari Jakarta ke Bali.
Beliau menerbangkan pesawat dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta ke Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali dengan pesawat AirAsia QZ7510.
Pegawai Kementerian Pengangkutan, Hadi Mustofa Djuraid ( kanan ) mengesahkan perkara itu hari ini, lapor media tempatan Tempo .
"Dipastikan (juruterbang) positif narkoba (dadah berbahaya) jenis morfin," Hadi dipetik sebagai berkata.
Menurutnya lagi, penemuan itu diperoleh setelah pemeriksaan air kencing yang dijalankan pasukan kesihatan penerbangan.
Pemeriksaan juga dibuat pasukan pemeriksaan kelayakan mengoperasi pesawat udara kementerian pengangkutan di Lapangan Terbang, Ngurah Rai Bali, pagi tadi.
Pemeriksaan dilakukan setelah pesawat itu mendarat pada jam 08.50 pagi (waktu tempatan).
Hadi menambah, dengan penemuan tersebut, juruterbang itu kini tidak dibenarkan membawa pesawat, lapor Tempo lagi.
Dalam perkembangan terbaru, Presiden AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko mengesahkan seorang juruterbangnya dikesan positif dadah jenis morfin.
Namun jelasnya, ia kerana pengambilan ubat batuk, lapor Tempo.