Berikut perkembangan operasi mencari dan menyelamat untuk hari kelima:
6:43pm: Mayat pertama nahas pesawat AirAsia Indonesia
QZ8501 dikenal pasti sebagai Hayati Lutfiah Hamid yang berasal dari Sidoarjo, Surabaya, menurut Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) di Surabaya.
Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Besar Budiyono berkata pengesahan identiti wanita itu, antara 162 penumpang dan anak kapal pesawat yang terhempas di Laut Jawa pada Ahad, dibuat berdasarkan bedah siasat, padanan cap jari dan barangan
peribadi milik mangsa, lapor Bernama .
"Kad pengenalan dan rantai tertulis nama Hayati diperoleh bersama-sama mangsa dan perkara ini turut disahkan oleh waris dan anggota keluarga," katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis, Hospital Bhayangkara dekat Surabaya pada Khamis.
Agensi berita nasional juga melaporkan bahawa jenazah wanita itu telah pun diserahkan kepada keluarganya hari ini.
Jenazah Allahyarham adalah antara dua mayat yang pertama tiba di hospital ini pada petang Rabu, satu lagi merupakan mayat lelaki.
Sambil menjelaskan identiti mayat lelaki itu belum dikenal pasti, Budiyono berkata:
"Mayat ini ada rambut panjang, tahi lalat di atas kiri bibirnya dengan tinggi lebih kurang 145cm ke 150cm."
Cuaca halang operasi penyelam
3.35pm: Penyelam yang menunggu untuk memeriksa rangka pesawat tidak dapat meneruskan operasi kerana laut bergelora, lapor Reuters.
Mereka sepatutnya menyelam ke dasar laut selepas objek besar dikesan oleh sistem sonar.
Pegawai pasukan pencari Sunarbowo Sandi berkata penyelam tidak akan dihantar ke laut tanpa sasaran jelas.
2.50pm: Penyiasat udara berharap dapat memperoleh kotak hitam QZ8501, yang mendedahkan maklumat penting apa sebenarnya berlaku, dalam masa seminggu, lapor Reuters.
“Paling penting untuk menemui kawasan utama rangka (pesawat) dan kemudian kotak hitam,” penyiasat udara di jawatankuasa keselamatan pengangkutan Indonesia Toos Sanitiyoso dipetik sebagai berkata.
2.46pm: Tiada formaldehid (pengawet) disuntik dan tiada ais digunakan dalam penghantaran mayat untuk tujuan pengecaman. Langkah itu diambil bagi mengelakkan berlaku pencemaran DNA, lapor koresponden Indonesia Channel New Asia Devianti Faridz
Menurut polis Indonesia, proses pengecaman juga dibuat melalui cap jari.
Pakaian dipakai mangsa juga direkodkan dan jasadnya dibersihkan sebelum dimasukkan ke dalam keranda.
Jasad mula diterbangkan ke Surabaya
2.29pm: Kumpulan pertama mayat diterbangkan ke Surabaya hari ini, lapor Channel News Asia yang memetik pegawai kerajaan Indonesia.
Mayat tiga perempuan dan seorang lelaki akan dihantar ke Surabaya daripada Hospital Immanuddin di Pengkalan Bun, Kalimantan Tengah.
12:15pm: Pasukan pencari dan penyelamat Indonesia menemui dua mayat dipercayai daripada AirAsia QZ8501 di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
Tempo Indonesia melaporkan pegawai kanan operasi itu Tatang Zainudin sebagai berkata, mayat itu dibawa pada 8.42 pagi ke Pangkalan Bun menggunakan helikopter.
Dengan penemuan terbaru, sebanyak sembilan mayat telah ditemui. Bagaimanapun, sebelum itu terdapat laporan menyebutnya sebagai sepuluh orang.
Ketua polis Kalimantan Tengah Hermanu (satu nama) berkata dua mayat itu kini di hospital dan akan diterbangkan ke Surabaya, bersama mayat-mayat lain yang masih ditunggu.
Pegawai kanan daripada ibu pejabat polis Indonesia Anton Castilani berkata mayat ditemui dalam keadaan baik.
11.40am: Satu lagi mayat dilapor ditemu daripada tapak pencarian pesawat AirAsia QZ8501.
“Kami tidak dapat sahkan mayat ini lelaki atau perempuan tetapi yang saya boleh kata, ia dalam perjalanan ke sini,” Komander Lapangan Terbang Iskandar, Jhonson Henrico Simatpang, dipetik sebagai berkata.
New Straits Times melaporkan, mayat itu diterbangkan ke lapangan terbang itu di Pengkalan Bun, Kalimantan Tengah, pangkalan tentera laut terdekat dengan tapak pencarian.