Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menolak pandangan bahawa satu kerajaan campuran PAS dan Umno diperlukan di Kelantan untuk membangunkan semula negeri itu selepas banjir.
Beliau sebaliknya menggesa agar syarikat petroleum nasional Petronas menyumbang dana kepada satu tabung khas untuk tujuan berkenaan.
"Alasan seperti itu terlalu rapuh.
"(Jika) Petronas sumbang RM3 bilion pada kerajaan negeri melalui satu tabung khas, Kelantan boleh dibangunkan semula," kata ADUN Salor itu kepada Malaysiakini .
Dalam kenyataan media susulannya, Husam menggesa Petronas agar melunaskan 'hutang kemanusiaan' mereka kepada Kelantan.
Menurutnya, langkah itu perlu kerana Petronas "mengaut kekayaan dari laut Kelantan tanpa apa-apa sumbangan selama ini".
"Semasa menunggu helikopter di hangar Lapangan Terbang Kota Bharu, dapat dilihat susunan heli operator yang terkait dengan pelantar Petronas di laut Kelantan.
"Ini masa yang tepat untuk Petronas melunaskan 'hutangnya' pada rakyat Kelantan," kenyataannya dipetik
Beliau mengulas cadangan kerajaan gabungan itu yang diajukan pemilik Sinar Harian , Datuk Hussamuddin Yaacub ( kanan ).
Husamuddin yang merupakan seorang anak Kelantan mengunjurkan pemulihan semula Kelantan akan memakan wang berbilion ringgit.
Beliau juga melihat krisis itu akan mengambil masa selama dua tahun untuk diuruskan.
"Kita adakan moratorium, gencatan politik. Kalau bekerjasama saja tak jadi, mesti akan bergaduh juga.
"Sekarang Umno Kelantan dan PAS Kelantan harus bergabung dalam satu kerajaan campuran untuk pulihkan kembali negeri.
"Tidak ada jalan lain lagi," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.