Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur demo nafi perkecil majlis selawat
Diterbitkan:  Dec 23, 2014 5:39 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Penganjur perhimpunan mendesak penurunan harga minyak menafikan mengedarkan risalah promosi yang memperkecil majlis selawat terhadap Nabi Muhammad, yang beredar di Internet.

“Kami di pihak TURUN dan penganjur himpunan menafikan sekeras-kerasnya penyebaran risalah ini,” kata Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) dalam Facebook mereka.

“Kami yakin ini adalah perbuatan terdesak pihak-pihak yang sudah mula tergugat dengan respon rakyat pada masa kini.”

Poster mirip yang sebenar itu ( kiri ) antaranya mendakwa penganjuran Majlis Cinta Rasul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur – tempat yang sama dengan perhimpunan TURUN – “mengganggu kelancaran demo”.

Poster itu juga memuatkan mesej bertulis:

“Apakah Malam Cinta Rasul dapat menurunkan harga minyak? Tepuk dada tanya derita.”

Ia turut memuatkan logo keempat-empat parti dalam Pakatan Rakyat, logo TURUN dan beberapa lagi NGO aktif dalam negara.

Mensasarkan penyertaan 10,000 orang, TURUN menuntut harga minyak RON 95 diturunkan ke tahap RM1.90 seliter berbanding RM2.26 sen sekarang.

Ia ekoran trend penurunan harga minyak sedunia.

Bermula 1 Disember lalu, kerajaan menetapkan harga RON95 secara apungan terkawal.

Malam Cinta Rasul, yang mensasarkan penyertaan 100,000 orang, dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama beberapa pihak, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ia akan menampilkan pendakwah terkenal seperti Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf serta Habib Ali Zaenal Abidin dari Indonesia yang terkenal dengan lagu Qasidah “Ya Hanana”.

Walaupun program tersebut dijangka berakhir kira-kira pukul 11.45 malam, orang ramai boleh bersama-sama menanti detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baharu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS