Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa Kelantan tidak akan bertukar menjadi seperti Nigeria atau Pakistan sekiranya undang-undang jenayah hudud dilaksanakan.
 
Beliau berkata PAS telah mengadakan bengkel untuk membincangkan proses menjalankan hukumannya dan prosedur yang ketat perlu diikuti sebelum pemotongan sebenar berlaku.
 
Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini minggu lalu, Amar berhujah bahawa hukuman yang dijatuhkan mengikut hudud bukan tidak berperikemanusiaan, dan bahawa tujuan undang-undang tersebut adalah untuk "membimbing" Kelantan kembali "ke jalan yang benar".
 
Amar berpendapat jurang perbezaan pendapatan tidak akan menjejaskan hudud kerana ia akan dikenakan ke atas kedua-dua golongan kaya dan miskin.
 
Hudud meliputi "kecurian, hubungan seks haram, tuduhan melakukan zina (tanpa asas), pengambilan alkohol, murtad, dan rompakan", dan Amar berkata jenayah lain seperti pengedaran dadah akan jatuh di bawah ta'zir (mengikut budi bicara hakim).
 
Amar juga menyatakan bahawa jika rasuah perlu ditangani di bawah hudud, maka ia patut dilabelkan sebagai kecurian dengan tangan pesalahnya dipotong.
 
Beliau berkata, semua label terhadap hudud sebagai tidak berperikemanusiaan dan kejam adalah pandangan Barat dan tegasnya, umat Islam tidak harus terikut dengan Barat dalam perkara ini.
 
"Potong tangan bukan tidak berperikemanusiaan - doktor potong tangan untuk menyelamatkan nyawa dan dalam hudud, potong tangan adalah untuk menyelamatkan masyarakat," katanya lagi.
 
Menurutnya, tiada ada orang yang mengatakan ia tidak berperikemanusiaan untuk memotong anggota pesakit kencing manis untuk menyelamatkan nyawanya.
 
Dalam Islam, tegasnya, memotong tangan pencuri adalah untuk menyelamatkan seluruh masyarakat, demi kebaikan majoriti. 
 
 
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS