Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami penuntut pengajian Islam dan Arab di Timur Tengah dan Malaysia merasa bertanggungjawab untuk menyokong surat terbuka kepada rakyat Malaysia daripada 25 orang tokoh Melayu untuk menyokong debat dan dialog terbuka berkenaan perundangan Islam.

Ini bertepatan dengan firman Tuhan dalam surah an-Nahlu yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Undang-undang jenayah syariah seringkali tidak mengikuti semangat kebebasan individu dalam Perlembagaan Malaysia.

Hal ini perlu diperhalusi semula kerana jika diteliti sejarah Islam, perbezaan dibuat antara dosa peribadi dan jenayah.

Tidak seharusnya dosa peribadi dikanunkan melalui undang- undang jenayah apabila kita mempunyai jalan lain melalui gerakan sivil dan dakwah untuk “ amar ma'ruf wa nahy al-munkar .”

Dalam kitab Al-Ihya' Imam al-Ghazali terdapat riwayat tentang Umar RA yang memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar.

Lelaki tersebut membantah Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara.”

Umar bertanya: “Apa dia?”

Dia berkata: Allah Taala telah berfirman: ‘Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain.’ Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: ‘Masukilah rumah melalui pintu-pintunya.’ Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: 'Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.' Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannya. ”

Imam Ghazali menyebut: “Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut.”

Masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk dan umat Islam di negara ini berpegang dengan aliran agama yang berbeza-beza.

Kita harus memahami dan mengkaji kepelbagaian dengan lebih baik melalui penelitian ke atas kitab suci, selain menjawab tuntutan dunia moden hari ini melalui penelitian ilmiah.

Proses ‘syariahisasi’ secara melulu akan menimbulkan kekacauan bukan saja dalam ruang praktik keagamaaan, malah ia akan menghasilkan pergeseran di kalangan masyarakat.

Setakat ini kita mula kerap mendengar retorik bernada perkauman dan ketaksuban.

Segala kenyataan yang mengundang api perkauman dan provokasi ke atas agama lain berpunca daripada kegagalan memahami isi terpenting Quran yang sangat menitik beratkan soal kemanusiaan dan persahabatan dalam menghadapi realiti kemajmukan agama dan budaya.

Allah berfirman: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: Ayat 8)

Al-Quran juga dengan jelas menuntut kita untuk menerima, menghargai dan belajar daripada berbagai ragam identiti manusia.

Allah menyebut dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."


Disokong oleh pelajar-pelajar Pengajian Islam dan Arab di Malaysia, Mesir, Madinah dan Jordan:

Mohd Syazreen Abdullah

Marwan Bukhari Abd Hamid

Ahmad Syafiq Rahim

Muhammad Arham Munir Merican bin Amir Feisal Merican

Faris Murtadha Fazial

Ahmad Izzuddin Suwardi

Mohd Nasrul Yaqin

Asyraf Muiz Roslan

Mursyid al-Amien Kayati

Tengku Ibrahim Helmi

Muhammad Fakhrur Ridzwan Hashim

Mohamad Hasnan Daud

Muhammad Bazli Rasli

Syairazi Muhammad Husni Mohd Sharoni

Ahmad Amirul Rashid Roslan

Mohamad Rafiq Izzuddin

Mohammad Fadzlurrahman bin Mazri

Muhamad Syamim Ahmad Yunus

Abu Bakar Mohamed Amin

Ag Jazmi Juani

Muhammad Bazli Shah Lan

Muhammad Aiman Abdull Rahim

Muhammad Luqman Ahmad Tarmizi

Muhamad Haziq Fikri Jasni


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS