Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kewujudan media alternatif dan portal berita atas talian membuka ruang yang luas bagi pelbagai pihak mengeluarkan bermacam-macam kenyataan untuk disiarkan sebagai berita.

Langkah ini bertepatan dengan konsep kebebasan bersuara yang ditegakkan.

Orang ramai pula berpeluang membaca pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan sendiri berdasarkan penilaian masing-masing.

Sepanjang tahun ini, kita turut menyaksikan penyiaran berita berdasarkan kenyataan, sidang media, komentar, ulasan dan reaksi daripada puak ultra kiasu, etnosentrik, pentaksub, fanatik, rasis dan pelampau.

Kenyataan-kenyataan itu menimbulkan kemarahan orang ramai. Hal ini jelas menerusi komen pembaca pada hujung berita yang disiarkan.

Pada masa sama, portal berita dalam talian juga gemar menulis berita berdasarkan rencana atau pojok yang tersiar di akhbar-akhbar bercetak; khususnya Utusan Malaysia dan Sinar Harian .

Rata-rata berita dan rencana yang dipetik itu adalah berkaitan sesuatu isu sensitif yang seolah-olah sengaja disiarkan akhbar-akhbar harian itu untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan antara kaum teras (Melayu-Islam) dan kaum-kaum lain (minoriti).

Tanpa menafikan hak dan kebebasan bersuara yang harus dihormati, portal berita dalam talian sepatutnya tidak memberi muka atau ruang kepada puak fanatik dan rasis seperti itu untuk terus lantang bersuara.

Secara psikologi, puak berkenaan akan menjadi semakin teruja setiap kali nama mereka disebut dalam berita. Mereka tidak kisah jika berita itu adalah paparan negatif yang menyelar kebodohan mereka.

Daripada pemerhatian saya sebagai penulis dan perunding media, puak terbabit akan semakin bersemangat untuk meneruskan kebodohan dan agenda rasis mereka memandangkan media alternatif terus memberikan ruang kepada mereka untuk berbuat demikian.

Besarlah harapan saya supaya menjelang tahun 2015, media alternatif dan portal berita dalam talian meminggirkan serta tidak terlalu mengangkat berita berkaitan puak-puak seperti yang dinyatakan di atas.

Selalu juga politikus turut mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh berbaur perkauman yang menunjukkan tahap sebenar mentaliti mereka.

Media sepatutnya bertindak bijak dengan tidak memberikan ruang kepada penyiaran berita berdasarkan kenyataan mereka.

Biarlah politikus dan puak fanatik berkenaan hanya mendapat tempat di media propaganda arus perdana dan akhbar tabloid pinggiran. Biarlah mereka terus bersuara di Facebook dan Twitter.

Semoga tahun baru membawakan sajian lebih intelektual, positif dan membina menerusi media alternatif dan portal berita dalam talian.


UTHAYA SANKAR SB adalah penulis sepenuh masa dan pemilik “Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS