Naib Presiden PKR Rafizi Ramli masih belum mendengar apa-apa daripada peguam yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, memandangkan sekarang adalah akhir tahun, mungkin semua orang bercuti.
Bagaimanapun, ahli parlimen Pandan berpandangan bahawa tiada alternatif untuk Najib dan Rosmah selain menyamannya.
Menurut Rafizi,
surat tuntutan guaman dari Najib dan Rosmah menyatakan beliau perlu meminta maaf dalam tempoh 14 hari dan tempoh itu akan tamat pada 28 Disember.
"Mungkin mereka sedang menunggu sama ada saya akan ubah fikiran," katanya sambil ketawa.
Sementara itu, Rafizi berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri dan isteri di mahkamah.
Minggu lalu, Rafizi melalui peguamnya menjawab bahawa beliau akan mempertahankan kenyataannya di mahkamah, dengan berhujah bahawa kenyataannya adalah berasas dan adil.
Pada 4 Disember, Najib dan Rosmah menghantar surat tuntutan guaman kepada pemimpin PKR itu berhubung ucapannya pada 23 November di mana beliau bercakap tentang subsidi bahan api dan cincin berlian yang didakwa dibeli untuk Rosmah.