Ketua Biskop Sarawak, Datuk Bolly Lapok cuba meredakan kebimbangan dari masyarakat Kristian mengenai cap ke atas Bible berkalimah 'Allah' yang dikembalikan kepada Persatuan Gereja di Sarawak.
Laporan The Star menyebut, Bolly berkata pihak berkuasa tidak berniat untuk mencemarkan kitab tersebut atau menunjukkan sikap tidak hormat kepada masyarakat Kristian.
“Di musim Krismas ini, di mana masyarakat Kristian merayakan sifat pemurah Tuhan kepada manusia, marilah kita menyambutnya dengan keriangan, bahawa perkara ini sudah selesai dan kita meneruskan usaha membina masa depan negara, yang merangkumi perpaduan, keamanan dan harapan,” kata Bolly seperti dipetik dalam laporan itu.
Beliau turut memuji campur tangan sultan Selangor sehingga naskhah Bible itu berjaya dikembalikan, yang menurutnya menunjukkan semangat muhibbah di antara masyarakat berbilang agama.
“Perubahan penting kerana negara akan berkembang dan membangun. Proses itu melibatkan dialog berterusan dan ia perlu dijalankan dengan cara yang menekankan kefahaman dan penghormatan bersama – iaitu prinsip muhibbah,” katanya lagi.
Bolly mengulas mengenai penjelasan sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa cap pada Bible tersebut dilakukan kerana terdapat pelanggaran Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Sultan Sharafuddin dalam satu wawancara dengan akhbar berbahasa Inggeris itu menjelaskan bahawa cap tersebut bagi memastikan Bible tersebut tidak digunakan di Selangor.