Pihak pengurusan Bernama TV (BTV) akhirnya mengakui bahawa mereka tidak lagi mampu untuk membayar gaji pekerjanya.
Sebaliknya, pekerja hanya menerima wang pendahuluan RM500 bagi gaji tertunggak masing-masing hari ini.
"Pembayaran ini merupakan sebahagian dari pembayaran gaji November 2014 yang tidak dapat dibayar sepenuhnya pada tarikh yang ditetapkan disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh pihak syarikat," menurut surat daripada ketua Pengarah Eksekutif (CEO) BTV Datuk Ibrahim Yahya ( kiri ), yang dilihat Malaysiakini .
Gaji terakhir dibayar oleh BTV adalah pada 20 Oktober lalu.
Ketika dihubungi, Ibrahim sendiri berkata pihaknya juga belum pasti bila gaji penuh boleh dibayar, kerana mereka tiada lagi wang untuk itu.
Katanya, BTV sebuah syarikat swasta yang agensi berita nasional Bernama hanya memiliki satu pertiga pegangannya.
“(Tetapi) apabila Bernama TV menghadapi masalah, Bernamalah yang membayar gaji-gaji ini dan juga segala keperluan," katanya.
"Lama-kelamaan, simpanan Bernama untuk bayar gaji Bernama TV itu habis, apabila tiada kemasukan baru."
Runding dengan kementerian
Sementara itu Ibrahim juga berkata, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh kini sedang berunding dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mendapatkan dana.
BTV juga, kata Ibrahim, sedang berusaha menjual slot iklan untuk membayar hutang syarikat itu.
Minggu lepas, hampir 20 pekerja BTV terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana masalah kewangan.
Kebanyakan mereka kini telah pulang ke pejabat, namun masa depan mereka tidak menentu.
"Memang tak cukup. (Wang RM500) ini untuk tebus balik (duit untuk bayar bil). Sekarang kerjalah, tetapi minggu depan tidak tahulah," kata seorang pekerja yang enggan dinamakan.
Seorang pekerja sambilan BTV pula mendakwa tidak menerima gaji selama empat bulan dan tidak lagi diberi arahan membuat liputan, kecuali melibatkan berita kemalangan atau bencana besar.
Ini bukan kali pertama BTV didakwa gagal mengaji pekerjanya tepat pada waktu.
Pekerja stesen itu mendakwa masalah sama turut berlaku tahun lalu serta Jun hingga September tahun ini.
Sementara itu, Ibrahim berpendapat, masalah yang membelenggu syarikat itu dapat diselesaikan jika pemegang saham melepaskan saham masing-masing.
"Masalahnya timbul di pihak pemegang saham itu sendiri. Kalau mereka menjual semua saham itu, Bernama boleh mengambil keputusan untuk jual saham kepada mereka yang berminat untuk melabur... (tetapi) mereka tidak buat keputusan," katanya.
"Saya bercakap dengan seorang pemegang saham, (tetapi) beliau berkata ia terpulang kepada kerajaan."
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum menjelaskan bahawa kerajaan ingin menyelamatkan stesen itu dengan menukarkan medium bahasanya kepada Bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun depan.
Pada masa kini, hanya 32 peratus kandungan BTV dalam Bahasa Inggeris, dan transformasi itu dijangka selesai pada pertengahan 2015.