Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Tengku Mansor menjelaskan, lapan jalan di Kuala Lumpur dinamakan semula nama bekas Yang di-Pertuan Agong kerana nama sedia ada “tidak ada erti”.

Lagi pun, katanya, setakat ini, hanya dua sahaja nama sultan telah diabadikan sebagai nama jalan di Kuala Lumpur iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Sallehuddin.

"Lapan Agong lagi tak ada. Jadi kita ambil keputusan, Jalan Duta tak ada makna kepada kita. Kenapa saya tidak boleh tukar Jalan Duta keapda Jalan Sultan Abdul Halim. Yang di-Pertuan Agong kita yang (telah) dua kali dilantik jadi Agong. Salah?

"Jalan Mahameru? Apa (makna) mahameru? Orang Asli Mahmeri saya tahulah. Jalan Mahameru, tak tahu apa bendanya. Apa salahnya kita tukar, dan kita akan tukar lagi nama (jalan),” katanya.

Tengku Adnan berkata perkara itu tidak harus dipolitikkan melainkan kerajaan menukar nama jalan yang telah ada sejarah atau bersempena namanya sendiri.

"Ini semua politiklah,” katanya diiringi gelak ketawa tetamu yang hadir.

Tengku Adnan berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berhubung keputusan menukar nama itu setelah Majlis Raja-raja berkata tidak pernah menitahkannya.

Semalam dilaporkan persidangan Majlis Raja-raja tidak pernah menetapkan atau meluluskan sebarang resolusi menitahkan Dewan Bandaraya Kuala Kuala Lumpur (DBKL) menamakan semula lapan jalan utama  di ibu negara dengan nama bekas Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, pada 28 November lalu, Tengku Adnan Tengku berkata keputusan DBKL untuk menukar nama lapan jalan utama itu bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-raja, sebaliknya ia adalah keputusan kementerian yang mula berkuat kuasa 26 November.

Jalan utama yang terlibat ialah Jalan Duta, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ipoh, Persiaran Duta, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah, Lebuhraya Mahameru, Persiaran Mahameru dan Jalan Semarak.

Jalan-jalan itu ditukar nama kepada Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Tuanku Ja'afar dan Jalan Sultan Yahya Petra.

Tengku Adnan sebelum itu mengadakan lawatan turun padang ke projek River of Life di empat lokasi dekat Bangkok Bank, Jambatan Lebuh Pasar Besar, Masjid Jamek dan tapak pembinaan Count Down Clock.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS