Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mengapa orang muda sokong parti lawan'
Diterbitkan:  Nov 26, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Anak muda menyokong parti lawan kerana mereka dilihat memberi peluang kepada orang muda, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
 
"Lebih membimbangkan ada pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab  parti lawan dilihat beri peluang pada orang muda. 
 
"Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding dengan kita. 
 
"Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka untuk angkat orang muda," tegas Khairy dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Pemuda Umno di PWTC hari ini.
 
"Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik pandai, orator hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam Umno untuk diangkat? 
 
"Atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan sudah jauh berubah," tambahnya. 
 
Khairy mengingatkan "kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan kuasa peti undi orang muda."
 
Menurutnya lagi, Umno sebenarnya parti orang muda di mana suatu ketika dulu barisan pimpinannya sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi. 
 
Beliau memberi contoh Tan Sri Rais Yatim jadi menteri besar Negeri Sembilan di usia 36 tahun. Manakala Tan Sri Shahrir Samad pula menjadi timbalan menteri di usia 31 tahun dan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;
 
"Tan Sri Isa Samad jadi menteri besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun; Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua Menteri Melaka di usia 32 tahun. 
 
"Tun Musa Hitam jadi pemangku setiausaha agung Umno di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet  bila masuk 40; Tan Sri Annuar Musa, di usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet; 
 
"Tengku Razaleigh Hamzah Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39.  
 
"Begitu juga dengan bapa kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi m enteri besar Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun," katanya.
 
Sayang, tegas Khairy, Umno kini telah membelakangi masa di mana hanya beliau seorang sahaja – Ketua Pemuda Umno Malaysia – satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun. 
 
"Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas – itupun baru lepas – saya mahu saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah ada transformasi," tegasnya. 
 
Tegasnya, itu bukan bermaksud tamak mengejar pangkat dan kedudukan, "namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang sedang berlaku di hadapan mata kita. 
 
"Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan  kami orang muda. 
 
"Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri!" tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS