DAP tidak akan tunduk dengan ancaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman seorang MP parti tersebut dan akan terus membangkitkan mengenai operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata notis tuntutan yang diberikan kepada PUA semalam juga sangat "bersejarah" kerana sebelum ini belum pernah ada seorang perdana menteri menyaman seorang MP pembangkang.
"Namun, DAP tidak akan gentar dengan cadangan saman perdana menteri untuk menjejaskan kecekalan kami dalam mempersoal dan terus mendedahkan 1MDB.
"DAP akan tekal menuntut tanggungjawab penuh demi kepentingan umum, daya maju kewangan, dan rasional 1MDB, terutamanya dalam rasional menggunakan berpuluh bilion ringgit hutang untuk membiayai operasi perniagaannya," kata Lim dalam kenyataannya.
Menurut Lim, tindakan Najib itu diharap tidak akan membantut perbincangan umum mahupun liputan media terhadap 1MDB terutamanya apabila entiti itu kini mempunyai hutang sebanyak RM42.9 bilion dan liabiliti keseluruhan berjumlah RM49 bilion.