Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel menangkis dakwaan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bahawa beliau tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menangani kes banjir lumpur di Cameron Highlands.
Dalam kenyataannya, Palanivel berkata masalah yang timbul itu perlu mendapat perhatian serius dan bukannya dengan mencari salah mana-mana pihak.
"Banyak perkara berlaku malah sebelum saya menjadi MP (Cameron Highlands)
"Namun saya yakin kami boleh memulihkan semula Cameron Highlands dan menghentikan kemusnahan besar alam sekitar yang berlaku,” kata Palanivel dalam satu kenyataan.
Beliau juga mendakwa beliau mempunyai hubungan baik dengan sultan Pahang.
"Saya akan jelaskan semuanya kepada baginda, yang baik dan yang buruk. Saya yakin kebimbangan baginda ke atas tanah ini dan rakyatnya sangat tulus dan baginda prihatin pada kebajikan mereka.
MP tersebut berkata beliau juga sudah banyak kali melawat kawasan yang diwakilinya itu.
"Bencana banjir adalah isu berbangkit yang serius sejak bertahun-tahun lalu. Kes kematian terbaru hanya menambahkan lagi kebimbangan mereka.
"Kerajaan komited dengan usaha mencari penyelesaian jangka panjang. Sebagai langkah segera, kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk tebatan banjir di Lembah Bertam,” katanya.
Tambahnya, isu itu juga dibangkitkan kepada perdana menteri dan dalam mesyuarat Kabinet.
Sultan Pahang hari ini dilaporkan murka kerana Palanivel tidak melakukan tindakan drastik untuk mengelakkan tragedi itu berulang, selepas kejadian pertama tidak sampai setahun lalu.
Sultan Ahmad Shah turut memberi amaran bahawa rakyat tidak akan mengundi parlimen itu lagi sekiranya isu berkenaan tidak ditangani.