MP Pandan Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Persekutuan menanggung hutang sekurang-kurangnya RM20 bilion syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
MP itu mendakwa, ia termasuk hutang sebanyak RM9.7 bilion yang akan ditanggung kerajaan sekiranya ia tidak mampu dilunaskan oleh 1MDB.
Selain itu, jumlah RM20 bilion itu termasuk hutang RM4 bilion yang ditanggung anak syarikat 1MDB – SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen, dakwanya.
Jumlah RM20 bilion itu juga meliputi jaminan nyata sebanyak RM5.8 bilion yang diperakui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, kata Rafizi lagi.
"Oleh sebab itu rakyat perlu dimaklumkan akan risiko tanggungan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Persekutuan yang kini mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion," katanya.
Tambahnya, risiko itu perlu diberi perhatian, "dengan mengambil kira prestasi kewangan dan operasi 1MDB setakat ini".
Menurut Rafizi lagi, jumlah RM20 bilion itu sebenarnya boleh diguna untuk membina sekurang-kurangnya 40 buah hospital dan 15 unversiti awam baru.
"Jika dilaburkan dengan baik, peminjam PTPTN tidak perlu berdepan dengan tindakan yang membebankan mereka sekarang," katanya.
Dalam sidang media sama, Rafizi turut mencabar Ahmad Maslan agar hadir ke forum tentang 1MDB yang dianjurkannya malam esok.
Menurutnya, jemputan kepada Ahmad Maslan dihantar menerusi emel dan beliau menerima pengesahan terima emel tersebut dari pejabat Ahmad Maslan.
"Kami ada banyak persoalan dan Ahmad Maslan ada jawapan-jawapannya," kata Rafizi.