Sudah 69 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dipecat setakat ini setelah terlibat dengan piket 9 Mei lalu yang mendesak presiden syarikat itu berundur kerana didakwa kurang cemerlang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Md Hassan kepada Malaysiakini semalam.
“Pembuangan seramai 69 orang ini adalah sejarah negara kerana menjadi pemecatan besar-besaran di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad ( kiri ) ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan pemecatan terkini itu, tetapi tidak menyatakan angka sebenar.
“Ya, ada pekerja yang dipecat tapi saya tidak ada data tentang mereka,” katanya yang juga ahli parlimen Langkawi ketika dihubungi hari ini.
“Hal ini pihak pengurusan yang tentukan dan akan mengambil tindakan tata tertib, jadi tindakan tata tertib tu berjalanlah.”
Piket sebelum ini disertai ratusan anggota RUM bagi mendesak Presiden KTMB Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2 Mei 2012.
NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.