Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA bimbang mahkamah syariah atasi sivil
Diterbitkan:  Nov 15, 2014 9:54 AM
Dikemaskini: Nov 16, 2014 7:23 AM

Pengerusi biro keharmonian agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker bimbang sekiranya penubuhan Mahkamah Persekutuan Syariah, seperti dicadangkan oleh kerajaan, akan mengatasi Mahkamah Rayuan Sivil.

Katanya, penubuhan mahkamah itu akan melanggar peruntukan Perkara 4(1) dan Perkara 74(3) Perlembagaan Persekutuan

Ti berkata, peruntukan Perkara 4(1) menetapkan bahawa undang-undang paling tinggi adalah Perlembagaan Persekutuan.

Ini menunjukkan bahawa undang-undang syariah hanya termaktub ke atas orang Islam dan tidak boleh dikuatkuasa ke atas orang bukan Islam.

"Maka, apa juga penguatkuasaan mahkamah syariah perlu tertakluk kepada perkara ini dengan kesedaran bahawa ia tidak diperluas untuk meliputi orang bukan Islam atau mengabaikan peruntukan undang-undang sivil.

"Kecenderungan untuk menganggap undang-undang Tuhan adalah lebih tinggi berbanding undang-undang sekular adalah salah kerana manusia tidak boleh dipercayai apabila berlagak seperti Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, cadangan untuk menubuhkan Mahkamah Persekutuan Syariah itu perlu diperjelaskan lebih lanjut berhubung bidang kuasa dan ruang lintupnya.

"Lebih banyak maklumat diperlukan tentang bidang kuasa dan skop mahkamah persekutuan dan cara untuk memastikan ia tidak melangkaui bidang kuasa mahkamah persekutuan sivil dan tidak menjejaskan hak bukan Muslim," katanya.

Ti berkata MCA bimbang sekiranya penubuhan mahkamah berkenaan akan menimbuilkan masalah dalam isu pengebumian dan hak jagaan anak melibatkan pasangan yang berlainan agama.

"Biro kami ingin menegaskan bahawa MCA konsisten dengan pendirian bahawa sebarang pertikaian melibatkan Muslim dan bukan Muslim perlu diselesaikan di mahkamah sivil.

“Kami tidak ingin melihat mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama disalahgunakan oleh mualaf yang perlu ke mahkamah syariah untuk mendapat kelebihan dalam pertikaian dengan pasangan mereka dalam kes perceraian atau mendapat hak jagaan anak bawah umur.”

Cadangan berkenaan diumumkan oleh menteri hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata, lima peringkat mahkamah syariah itu turut melibatkan penubuhan Mahkamah Tengah Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

Laporan Berita Harian pada hari Khamis lalu menyebut, Jamil Khir menegaskan bahawa tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah itu harus sama dengan Mahkamah Persekutuan sivil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS