Pengerusi Biro Pendidikan Umno Malaysia, Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, aktivis siswa Fahmi Zainol harus reda jika Jabatan Perkhidmatan Awam bertindak menarik balik tajaan biasiswanya.
Beliau berkata, Fahmi bertanggungjawab untuk belajar dan bukannya untuk melanggar peraturan dengan menganjurkan pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pelajar tidak kira bangsa yang dapat biasiswa harus bertanggungjawab untuk belajar.
“Jika JPA menarik balik biasiswanya Fahmi harus terima dan tidak harus bersuara dan melanggarnya kerana itu adalah tindakan yang adil,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai kebebasan siswa untuk menganjurkan aktiviti seperti itu, bekas naib canselor Universiti Teknologi MARA itu sekadar menegaskan mengenai keperluan mematuhi undang-undang.
"Apabila saya berbuat sesuka hati saya ini adalah kebebasan saya
"Waima kalau sekarang ini saya telanjang depan ni, jangan tangkap. Ini kebebasan mutlak saya.
"Tidak. Dalam banyak undang-undang dunia, mana-mana masyarakat, ada had-had tertentu melainkan kalau kita hidup dalam dunia haiwan.
“Setiap negara ada undang-undang, melainkan kalau Fahmi duduk dalam dunia haiwan.
“Kalau melampaui batas mungkin ketua beruk akan marah, itu binatang apatah lagi manusia,” ujarnya kepada Malaysiakini .
Beliau ditemui ketika majlis pembukaan persidangan meja bulat untuk membincangkan usul tertinggi sempena Perhimpunan Agung Umno di Petaling Jaya.
Ibrahim mengulas mengenai surat oleh Jabatan Perkhidmatan yang mendapati Fahmi melanggar syarat perjanjian biasiswa yang ditandatangani pada 2011.
Siswa tahun akhir jurusan sastera dan sains sosial itu diberi tujuh hari untuk mengemukakan tunjuk sebab bertulis berhubung pembatalan biasiswa tuntutan ganti rugi ke atasnya.