Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP mahu rujuk Ahmad Maslan ke JK parlimen
Diterbitkan:  Nov 12, 2014 12:17 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

MP PKR, Rafizi Ramli menuntut agar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dirujuk ke jawatankuasa hak dan keistimewaan dewan kerana didakwa mengelirukan Dewan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

MP Pandan itu mengemukakan usul berkenaan dalam persidangan Dewan Rakyat pada jam 11.30 pagi ini.

Usul berkenaan akan diputuskan pada petang ini oleh Yang Dipertua Dewan, Datuk Seri Pandikar Amin Mulia.

Terdahulu, Rafizi dalam sidang medianya berkata Ahmad Maslan berdolak-dalik tentang surat sokongan kerajaan ke atas hutang 1MDB sebanyak RM9.6 bilion.

 

Dalams sidang media bersama MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, mereka mendakwa Ahmad pada hari Khamis lalu memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan tidak menjamin hutang tersebut.

Namun, harian Financial Daily The Edge sejak semalam lagi melaporkan bahawa Ahmad Maslan mengaku kerajaan mengeluarkan surat sokongan kepada 1MDB.

Menurut laporan itu, Ahmad menegaskan bahawa surat sokongan itu tidak menjamin hutang tersebut.

Mengulas perkara itu, Rafizi berkata jaminan yang dikelaskan sebagai liabiliti kontingen tidak dizahirkan dalam penyata kewangan negara bagi tahun berakhir 31 Disember 2013.

"Surat jaminan kini digunakan sebagai satu lagi instrumen untuk menyorokkan hutang negara," kata Rafizi pada sidang media di lobi Parlimen pagi ini.

Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau akan membuat keputusan berkenaan usul Rafizi esok atau pada hari Isnin akan datang.

Ini kerana beliau perlu mendapatkan penjelasan dan dokumen yang sepatutnya dari Ahmad.

"Saya akan menghubungi menteri untuk mendapatkan dokumen yang perlu daripada menteri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS