Menteri Besar Selangor, Azmin Ali meminta mufti Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengadakan pertemuan dengan NGO Sisters in Islam (SIS) berhubung permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SIS.
SIS telah memfailkan semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa Selangor, MAIS dan kerajaan negeri Selangor berhubung fatwa yang melabel NGO itu sebagai "sesat dan menyeleweng" dari ajaran Islam.
Fatwa yang diwartakan di Selangor pada 24 Julai itu menyatakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan memetik NGO itu sebagai contoh.
Azmin (kiri) berkata oleh kerana beliau bukanlah Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pejabat Menteri Besar tidak berkuasa ke atas hal - hal berkaitan fatwa, maka adalah terbaik bagi SIS dan pihak berkuasa untuk mengadakan pertemuan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
"Selepas membaca kenyataan SIS di media, saya telah menghubungi Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor untuk mendapat penjelasan mengenai tersebut.
"Isu ini kemudiannya dibincangkan di Mesyuarat Dewan Di - Raja Selangor yang kebetulan berlangsung pada 3 November 2014 untuk mendapatkan penjelasan langsung dari Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor dan Pengerusi MAIS.
"Daripada penjelasan yang diberikan Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor dan MAIS di Mesyuarat Dewan Di - Raja Selangor, saya telah mencadangkan, dengan perkenan Tuanku Sultan, supaya Dato’ Seri Utama Di Raja Mufti Selangor dan MAIS membuat pertemuan dengan SIS untuk mengelak kekeliruan dan salah faham," katanya.
Azmin amat berharap perbincangan dan pertemuan tersebut, akan membantu mewujudkan suasana harmoni sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam