Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya mahu menjemput seorang mangsa perobohan rumah di Kampung Chubadak Tambahan untuk memberi penjelasan sekaligus berkongsi nasib yang menimpa golongan sepertinya.

Dengan sokongan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), pro-M akan mengadakan majlis bersama Wahidah Salleh di Medan Selera Kolej Kediaman ke-7 kampus itu pada Rabu ini, jam 9 malam.

Presiden PMUM Fahmi Zainol berkata kehadiran wanita yang mesra dipanggil 'Opah' Wahidah untuk memberi penjelasan mengenai insiden yang menimpanya selain mengumpul dana bagi meringankan beban yang ditanggungnya.

“Kami mahu minta Opah Wahidah memberikan penjelasan berkenaan tentang nasib yang dilalui oleh golongan seperti beliau supaya golongan cerdik pandai boleh fikir dan bantu beliau.

“Selain itu, mungkin kita nak kutip duit, mana-mana orang awam yang hadir, kami mahu kutip duit bagi meringankan beban Opah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wahidah, 70 terpaksa menghuni satu pondok sementara selepas rumah mereka dirobohkan oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa lalu.

Wahidah berkata beliau antara peneroka asal di kampung yang dibuka sejak 45 tahun lalu dan kecewa rumahnya dirobohkan rumah itu walaupun surat kebenaran mahkamah membenarkan dia menetap di situ pada 1998.

Dia kini terpaksa menghuni satu pondok sementara menunggu pampasan dari pihak pemaju.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihak tidak mahu mahasiswa hanya mahu berpolitik dan menepis menjadi "macai Anwar Ibrahim' sebaliknya mahu membantu masyarakat dengan menjemput Opah Wahidah berkongsi nasib yang dialaminya.

“Bukan PMUM melihat hanya mahu berpolitik, kami mahu kami dilihat sebagai membantu masyarakat.

"Orang kata kami ni macai Anwar Ibrahim. Dan sekarang, kami bawa Opah (Wahidah) yang rumahnya dimusnahkan. Jadi kami bawa masuk Opah ke UM,” kata Fahmi.

Fahmi berkata fungsi sebenarnya universiti bukan hanya memberi pendidikan tetapi harus membantu masyarakat serta mereka yang tertindas.

"Universiti seharusnya menjadi tempat membantu masyarakat, kebebasan bersuara, masyarakat harus mendapat pertolongan dari golongan cerdik pandai,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS