Polis masih memburu lima individu yang mendakwa sebagai pegawai polis daripada Unit Cawangan Khas Bukit Aman dan didakwa mengancam dan menggugut anggota Dayak Informal Group (DIG), Dr Dusit Jaul.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Dusit, seorang pejuang kaum Dayak, telah membuat laporan polis berhubung insiden-insiden tersebut.
Katanya beliau telah mengarahkan polis supaya melakukan siasatan terperinci mengenai laporan Dusit tetapi menambah polis masih belum dapat mengenal pasti identiti lima individu yang terbabit.
"Pada ketika ini, saya tidak mendapat apa-apa laporan terbaru atau maklumat lanjut mengenai kes ini. Setakat saya tahu, dia (Dusit) seharusnya tidak diganggu atau diancam.
"Jika polis mahu menyoal beliau, mereka harus memberi notis terlebih dahulu kepadanya untuk datang ke balai polis tetapi tidak kepada isteri dan anak-anaknya kerana ia bukan satu prosedur yang betul," katanya kepada Bernama semalam.
Wan Junaidi berkata tidak ada rekod atau arahan untuk perkara seperti itu dilaksanakan oleh polis.
"Saya telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat kes itu sehingga mereka mengenal pasti lima individu tersebut...kita tidak mahu orang awam menyamar sebagai pegawai polis dan akibatnya ia menjejaskan nama pasukan polis dan kerajaan," katanya.
Dusit mendakwa pada 7 Oktober lepas, sekitar jam 10.45 pagi, lima individu tanpa sebarang dokumen pengenalan diri masuk ke dalam rumahnya tanpa kebenaran di Tabuan Jaya.
Kumpulan itu didakwa memberi amaran kepada isterinya, yang seorang diri di rumah ketika itu, supaya dia (Dusit) berhenti bercakap mengenai perkara berkaitan hak-hak bangsa Dayak serta isu-isu semasa yang dihadapi oleh kaum itu.
Dusit juga mendakwa tiga daripada lima 'tetamu' tidak diundang itu fasih berbahasa Iban, seorang berbangsa India dan seorang lagi Melayu.
Beliau berkata kumpulan yang sama juga sering kelihatan mengekorinya malah pada 4 sehingga 5 Okt lepas, mereka mengekorinya dengan kereta sehingga ke Lubok
Antu.
- Bernama