Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Syed Azmi terima ribuan ancaman bunuh
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 4:16 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Para penganjur acara kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing' kini bimbang dengan keselamatan rakan mereka, Syed Azmi Alhabshi yang menerima ribuan ancaman bunuh dan mesej ugutan.

Peguam Syed Azmi, Syahredzan Johan berkata ada di antara individu yang mahu mematahkan leher Syed Azmi, dan ada juga yang terus terang ingin membunuh pemuda tersebut.

"Beliau menerima ancaman bunuh yang teruk. Ada yang dihantar menerusi Facebook, menerusi telefon dan ada yang dihantar menerusi WhatsApp.

"Semalam saya berjumpa beliau untuk seketika dan dalam tempoh beberapa jam sahaja beliau menerima lebih daripada 1,000 mesej WhatsApp yang tidak dapat dibaca," katanya pada sidang media pagi ini.

Jelas Syahredzan, pihaknya sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung ugutan itu dan pihak berkuasa berkenaan sudah membuka kertas siasatan mereka.

Selain itu, Syed Azmi turut difitnah dengan pelbagai tuduhan – termasuk didakwa menganut Kristian, mengamal mazhab Syiah dan menyebarkan fahaman liberalisme.

Menurut Syahredzan, Syed Azmi sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa yang ingin menyiasatnya.

Tambahnya lagi, Syed Azmi juga akan memberi keterangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 6 November depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS