Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB janji teliti TOL warga Pulau Ketam
Diterbitkan:  Oct 18, 2014 10:29 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Menteri Besar Selangor Azmin Ali meneruskan program lawatan mengejut ke lokasi di negeri berkenaan semalam melalui kunjungannya ke Pulau Ketam – dengan berbasikal.

Beliau berbasikal mengelilingi kawasan tersebut dengan seorang anggota exco, Elizabeth Wong membonceng di belakang.

Sepanjang perjalanan tersebut, beliau berhenti di beberapa lokasi untuk bertemu dengan penduduk tempatan dan mendengar rungutan mereka.

Beliau seterusnya meneruskan kunjungan dengan berjalan kaki untuk memeriksa satu gelanggang bola keranjang, dan longgokan sampah di bawah laluan pejalan kaki.

Kunjungan ke pulau tersebut merupakan rentetan kepada siri lawatannya, yang mencontohi gaya presiden Indonesia, Joko Widodo dengan program turun padang, sebaik mengangkat sumpah jawatan menteri besar kira-kira sebulan lalu.

Sejak tiga minggu lalu, Azmin meluangkan masa untuk meninjau longkang, memeriksa lori sampah dan pendatangan asing tanpa dokumen, dari kawasan yang diwakilinya di Gombak sehinggalah Kuala Langat.

Program yang digelar “terjah” – seperti istilah pop yang merujuk kepada temubual mengejut oleh wartawan hiburan ke atas golongan artis – dikongsi secara meluas di media sosial oleh kumpulan penyokongnya dari kalangan anak muda.

Dalam kunjungan semalam, seorang wakil penduduk Pulau Ketam memberitahu Azmin bahawa mereka sering membakar sampah secara terbuka sebelum ini, tetapi tidak lagi meneruskan amalan tersebut apabila diharamkan.

Usaha untuk membawa sampah tersebut keluar dari pulau berkenaan juga terlalu sukar, katanya.

Menteri besar berkenaan seterusnya menyatakan kesungguhannya untuk membersihkan sisa tersebut untuk menjadikan Pulau Ketam kawasan tumpuan pelancong.

"Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Worldwide Holdings Bhd (WHB) diberi tanggungjawab untuk memastikan kebersihan pulau ini serta merta, agar industi ekopelancongan di Pulau Ketam dapat ditingkatkan.

Selain kegiatan pembersihan, Azmin juga merancang untuk memperluaskan jeti pulau berkenaan untuk menampung jumlah penumpang yang tinggi pada hujung minggu.

Beliau juga berjanji untuk meneliti lesen menduduki sementara (TOL) untuk 1,200 penduduknya, selain untuk ternakan ikan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS