Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mempertahankan dirinya daripada dikaitkan dengan syarikat adiknya yang mendapat kontrak RM77 juta dari Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.
Menteri pertahanan berkata label keselamatan untuk arak itu yang didakwa diperolehi syarikat Datuk Haris Onn Hussein tidak terletak bawah seliaan kementeriannya.
Justeru itu, katanya, tidak timbul sebarang isu tentang konflik kepentingan dalam dakwaan tersebut.
"Penting untuk kita tahu, beliau tidak menerima sebarang kontrak dari mana-mana kementerian yang saya pernah pimpin dahulu atau sekarang.
"Jadi isu konflik kepentingan yang amat saya ambil berat, tidak timbul," katanya di Parlimen hari ini.
Hishammuddin juga menjelaskan yang beliau tidak tahu sama ada benar adiknya itu memperolehi kontrak itu seperti didakwa Pakatan Rakyat.
"Saya tidak ada pengetahuan dan tidak ada kaitan langsung dengan apa yang adik saya lakukan.
'Kalau tak kena, minta dia jawab'
"Kalau sekiranya ada perkara yang tak kena, minta dia jawab dan saya tak akan mempertahankan dia kalau salah," katanya.
Semalam, MP Petaling Jaya Utara Tony Pua mempersoalkan kontrak itu yang didakwa bernilai RM77 juta dan diperolehi Datuk Haris Onn Hussein.
Memetik sebuah mingguan perniagaan, Tony mendakwa syarikat Haris memperolehi kontrak itu secara rundingan terus dari Jabatan Kastam.
Hishammuddin berkata Pakatan Rakyat boleh melemparkan pelbagai tuduhan kepadanya kerana beliau tiada kaitan dan tiada apa-apa untuk dipertahankan.
"Pembangkang boleh membangkitkan segala macam tuduhan tapi akhirnya, saya tiada kaitan dengan perkara yang beliau lakukan.
"Jika ada yang salah, biarlah dia sendiri yang menjawabnya," kata naib presiden Umno yang juga sepupu kepada Datuk Seri Najib Razak itu.