Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan tidak sewajarnya melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya ia semata-mata untuk membayar hutang yang ditanggung kerajaan.
"Masalah cukai ini, bukan kita boleh buat keputusan dengan mudah kerana dia menyentuh poket setiap seorang, kemampuan setiap seorang. Jadi kalaulah tujuan kita perkenalkan GST kerana nak kumpul duit, kerana nak mengurangkan hutang yang ditanggung oleh kerajaan, itu salah.
"Tetapi kalau kita perkenalkan GST kerana semata-mata kerana nak mengenakan setiap orang rakyat di Malaysia yang berkemampuan supaya menyumbang kepada pembangunan tanah air saya rasa bagus kerana bukan semua orang di Malaysia ini menyumbang.
"Pokoknya, patut ke kita kenakan GST kerana dalam keadaan sekarang kos hidup meningkat? Bila perkenalkan cukai baru, banyak orang marah, tak senang hati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi ucaptama di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, anggota parlimen Gua Musang itu turut mempersoalkan sama ada April tahun depan merupakan masa yang sesuai untuk mengenakan cukai tersebut.
Malah, tokoh Umno yang mesra dipanggil Ku Li itu turut menyuarakan rasa kebimbangan orang ramai sekiranya jumlah cukai sebanyak enam peratus itu akan dinaikkan lagi selepas ini.
"Pada April nanti akan dikenakan sebanyak enam peratus. Tetapi entah berapa banyak yang akan dikenakan selepas itu. Itu ramai yang khuatir sebab yang naik tidak semestinya turun. Dia akan naik lagi. Itu yang orang bimbang," katanya.
CGT cukai baru, bukan pengganti
Mengulas bajet alternatif Pakatan Rakyat berhubung Cukai Keuntungan Modal (CGT), kerabat diraja itu berkata cukai itu bukan pengganti yang bagus kepada GST dan hanya dikenakan kepada golongan peniaga sahaja.
"Dulu kita dah guna tapi saya dah hapus benda itu kerana keadaan (ketika itu) kemelesetan. Nak bayar cukai keuntungan macam mana kalau dia tak ada untung pun.
"Jadi tak munasabah. Ia bergantung pada keadaanlah. Kalau keadaan memaksa kita untuk tambah pendapatan negara dengan mengenakan kadar yang lebih tinggi atau cukai yang baru, itu soal pertimbanganlah," katanya lagi.
Ditanya sama ada kini masa yang sesuai untuk melaksanakan CGT, Ku Li berkata keadaan tidak mengizinkan.
"Saya rasa keadaan tak begitu mengizinkan kerana kita belum lagi menjadi lebih maju untuk nak melabur. Pasaran saham sekarang ini tidak begitu bagus," katanya lagi.
Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, kira-kira10 peratus orang terkaya di Malaysia mengawal lebih 77 peratus nilai saham di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, cukai CGT yang dicadangkan belanjawan alternatif Pakatan jauh lebih relevan dan tidak menyusahkan sebahagian besar rakyat miskin yang terjejas dengan GST.