MP PKR dari Ampang, Zuraida Kamaruddin mendakwa program prapendidikan kanak-kanak Permata Untuk Negara (PERMATA) memberi keuntungan kepada anak orang kaya dan bukannya golongan sasaran berpendapatan rendah.
Zuraida membangkitkan perkara itu dengan menimbulkan isu anak orang kaya yang sedia terlatih dalam bidang muzik untuk menyertai satu program orkestra PERMATA Seni.
"Kalau kita lihat PERMATA Seni, program orkestra mereka ini diambil dari anak-anak orang kaya yang memang terlatih dalam seni muzik dan digabungkan buat satu pasukan," kata Zuraida.
Menurutnya, program itu sepatutnya menumpukan kepada kanak-kanak dari ibu bapa berpendapatan rendah.
"Kalau PERMATA ini bersungguh-sungguh nak bantu rakyat di bawah - macam Sabah yang kata Sabah pun tiada (program PERMATA) - ia sepatutnya menggilap (bakat) anak-anak miskin dari bawah dan jadikan mereka permata dan bukan ambil anak-anak orang kaya.
"Lenggong (Shamsul) sedar atau tidak program PERMATA ini program 'jalan pintas'?,” katanya sewaktu mencelah perbahasan Belanjawan 2015 oleh Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat.
Kenyataan itu seterusnya dibidas oleh Datuk Seri Azalina Othman (BN-Pengerang) yang mendakwa Zuraida mendiskriminasikan kanak-kanak.
Diskriminasi miskin, kaya
"Lenggong (Shamsul), saya nak tanya bolehkah kita diskriminasikan anak orang kaya dan anak orang miskin?
"Apalah Ampang ini punya fikiran. Kanak-kanak adalah kanak-kanak.
"Kenapa nak diskriminasikan yang miskin dan yang kaya?" kata Azalina.
MP Pakatan Rakyat pada hari Isnin lalu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat jumlah peruntukan yang diterima PERMATA.
Dalam Belanjawan 2015 yang dibentang Jumaat lalu, kerajaan mempertuntukkan RM711 juta kepada PERMATA, Kementerian Pendidikan, Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.
Pecahan belanjawan itu menyatakan anggaran RM42,831,500 pada 2014 dan RM30,690,100 pada 2015 untuk PERMATA.