Peningkatan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun depan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan selepas pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata MP Kelana Jaya Wong Chen.
Mempertikaikan angka perdana menteri berhubung hasil bersih kerajaan bawah GST, katanya, purata sebuah isi rumah akan membelanjakan kira-kira RM270 seorang atau RM1,080 seisi rumah empat anggota untuk bayaran cukai itu.
“Jadi matematiknya... saya tidak tahu siapa tulis kertas untuk dia, tetapi ia sama sekali 'koyak' (salah),” kata wakil rakyat Pakatan Rakyat itu kepada pemberita selepas menghadiri sebuah forum di Subang Jaya semalam.
Sebelum itu, dalam forum, Wong ( kiri ) berkata, golongan miskin akan membelanjakan antara RM140 hingga RM700 dan RM700 seisi rumah empat anggota bila GST diperkenal tahun depan.
Manakala golongan pertengahan pula, katanya, dijangka membelanjakan kira-kira RM1,050 seisi rumah.
BR1M dinaikkan sebanyak RM300 untuk isi rumah yang layak, daripada RM650 kepada RM960 bagi pendapatan RM3,000 sebulan.
Bagi pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan pula, ia dinaikkan daripada RM450 kepada RM750.
“Jika kamu terima RM300 dan kami sangat, sangat kedekut belanja untuk makanan, kamu mungkin ada sedikit wang, tetapi kebanyakan kita terpaksa membelanjakan RM400 lagi.
“Maka ia jadi beban untuk golongan miskin,” katanya.