Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau sedih kerana kenaikan gaji para menteri tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2015.

Namun, beliau tetap menyambut baik kesediaan perdana menteri untuk menyemak semula gaji anggota kabinet pada satu masa kelak dalam pembentangan semalam.

"Kita terimalah walaupun dalam hati kita cakap sedih juga tapi kita terima.

"Tapi biarlah kita bagi orang lain pemimpin di peringkat Parlimen itu perubahan gred - dari gred 54 ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan parlimen.

Kenyataannya itu merujuk kepada pengumuman perdana menteri untuk menaikkan gaji para MP, speaker serta timbalan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yakin bahawa penjelasan Najib berhububg pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diterima oleh rakyat.

"Kita yakin ia tidak akan membebankan kerana ia adalah usaha PM sebagai menteri kewangan untuk mengukuhkan kewangan negara dan di samping itu, segala penjimatan yang dibuat itu dapat diagihkan kepada kumpulan sasar," kata Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan turut berterima kasih atas peruntukan buat kementeriannya sehingga RM2.3 bilion dan ini termasuklah perbelanjaan dalam penyeliaan sekolah.

Dalam nada sama, seorang lagi menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar berterima kasih atas peningkatan peruntuan untuk kementerian belia dan sukan dari daripada RM700 juta kepada RM1 bilion untuk tahun depan.

"Kita terima tambahan RM103 juta untuk sukan, tambahan RM320 juta untuk pembangunan belia.

"Ini tambahan untuk pelan transformasi belia yang meliputi pelbagai program yang telah diumumkan oleh PM tadi.

"Ia termasuk program baru yang akan menggantikan PLKN, program kesukarelaan yang baru dan juga untuk pembangunan sukan," katanya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan juga mengalu-alukan insentif yang diumumkan perdana menteri untuk membantu pembeli rumah pertama, termasuk pengurangan duti setem ke atas pembelian rumah.

Mengulas tentang pelaksanaan GST, MP Kota Belud itu berkata ia satu keputusan sukar namun ia perlu dilakukan demi "penyesuaian kepada ekonomi".

Seorang lagi anggota kabinet, Datuk Seri Husni Hanadzlah yakin negara mampu mencapai sasaran kadar defisit tiga peratus.

Beliau ketika ditemui pemberita mengunjurkan bahawa negara akan mencapai defisit sifar menjelang tahun 2020.

Tambahnya, kerajaan sudah menyelesaikan pelan subsidi bersasar namun perdana menteri akan hanya mengumumkannya sebelum tahun ini berakhir.

MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pula gembira dengan peruntukan RM600 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

"Belanjawan ini memandang berat terhadap keselamtan rakyat Malaysia.

"(Peruntukan) RM600 juta kepada Esscom - ini dapat mempertingkatkan kawalan dan memantau persisiran pantai di Sabah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS